PEKAN – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat latar belakang dan maklumat tentang pusat asuhan dan pengasuh seluruh negara bagi mencegah kejadian jenayah berulang.
Siasatan berkenaan juga bakal melibatkan semua pusat asuhan sama ada individu atau syarikat termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya juga akan melaksanakan pemantauan terhadap pusat-pusat asuhan sebagai langkah bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.
“Kejadian yang menimpa adik Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal merupakan insiden yang tidak wajar berlaku dan hal ini perlu diambil perhatian serius khusunya dalam memastikan pusat asuhan selamat untuk kanak-kanak.
“Kerjasama PDRM melibatkan siasatan menyeluruh terhadap pengusaha pusat asuhan melibatkan latar belakang dan rekod lampau bagi memastikan mereka layak untuk menjalankan perkhidmatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Tahunan Polis Bantuan Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti, Komissioner Polis, Datuk Seri Rosli Ab Rahman dan Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia, Datuk Aishah Mohammad – K! ONLINE










