SUBANG JAYA 8 Nov. – Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ menjemput orang ramai berlari sambil beramal dalam Kentang Charity Fun Run yang akan diadakan pada 9 Disember ini.
Larian sambil beramal yang akan bermula pada pukul 7 pagi di Puchong Utama itu bertujuan mengumpul dana bagi pembelian peralatan ambulans dan van jenazah.
Chee Heng berkata, sumbangan yang dikumpul daripada acara larian dengan kerjasama beberapa syarikat swasta itu diharap mencapai sasaran sebanyak RM300,000.
“Saya harap orang ramai terutama peminat acara larian dapat datang dan menyokong larian ini untuk pembelian peralatan dan kemudahan yang akan dimanfaatkan orang ramai.
“Selain memupuk kesedaran gaya hidup sihat, saya mahu rakyat Malaysia sama-sama membantu golongan yang terlantar yang sakit dan mereka yang memerlukan perkhidmatan kenderaan jenazah,” katanya dalam sidang akhbar Kentang Charity Fun Run di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Komunikasi Korporat Mamee-Double Decker (M) Sdn. Bhd., Sharszany Shahry Abu Shahriman dan Pengurus Kanan, Pemasaran dan Komunikasi IOI Mall, Wee Lay See.
Menurut Chee Heng, beliau mengambil inisiatif mewujudkan kemudahan van jenazah selepas menyedari ada golongan waris yang tidak mampu membayar kos bagi pengangkutan jenazah – UTUSAN ONLINE










