Lantai bergegar kuat, tingkap tercabut - Utusan Malaysia

Lantai bergegar kuat, tingkap tercabut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCUTIAN di negara matahari terbit sepatutnya berakhir dengan penuh keseronokan. Namun, siapa sangka pada hari terakhir berada di negara itu, lima sahabat terperangkap dalam taufan yang cukup kencang.

Ketika kejadian, kesemua mereka berada di sebuah inap desa di Nishinari-ku, Osaka. Mereka sibuk mengemas memandangkan keesokan harinya, mereka akan pulang ke tanah air.

Nur Fatin Syuhada Tamsi, Hawa Jumitstrowijoyo, Nur Farah Diyana Sabarudin, Zati Iwani Abdul Malek dan Azizul Halim Ismail tidak menyangka percutian hari terakhir di Jepun cukup cemas apabila mereka terperangkap dalam bencana Taufan Jebi.

Kekuatan angin sehingga 216 kilometer sejam itu mencetuskan kerisauan yang teramat sangat kepada lima sahabat terbabit. Apatah lagi, taufan itu dicatatkan sebagai taufan terburuk melanda Jepun dalam tempoh 25 tahun.

PENGALAMAN

Dalam malapetaka itu, enam orang maut dan lebih 90 orang cedera, selain ribuan rumah dan kenderaan musnah.

Kemudahan asas seperti bekalan elektrik terputus serta perkhidmatan pengangkutan awam termasuk penerbangan terpaksa dibatalkan, sekali gus mencetuskan panik kepada pelancong. Kalau boleh, setiap pelancong mahu cepat keluar dari kawasan malapetaka, tetapi apa kan daya, penerbangan yang dijadualkan keesokan harinya turut terkena tempias Taufan Jebi.

Nur Fatin Syuhada Tamsi, 29, yang mesra disapa sebagai Fatin, berkata, dia bersama empat rakannya tiba di Jepun pada 30 Ogos 2018 untuk bercuti. Dalam percutian itu, beberapa perancangan telah disusun rapi termasuk mendaki Gunung Fuji di Tokyo dan ‘makan angin’ di Osaka.

Mengenang malapetaka itu, Fatin memberitahu S2, pada hari terakhir mereka dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur, mereka terperangkap dalam bencana Taufan Jebi.

Katanya, detik dibadai taufan itu tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

“Ia satu pengalaman yang cukup menakutkan. Lantai di homestay yang kami sewa bergegar. Malah, tingkap di tingkat atas rumah tercabut. Bumbung pula macam nak terbang. Saat itu, kami duduk rapat-rapat, takut yang teramat sangat.

“Mulanya, kami sangka cuma ribut biasa. Sebelum itu, jiran-jiran sudah menasihatkan kami supaya menutup tingkap dan pintu rapat-rapat.

“Syukur, taufan itu hanya sekejap…,bermula dari tengah hari dan berakhir sekitar pukul 3 petang,” katanya yang masih tidak dapat melupakan kekuatan angin yang teramat kuat dan kencang.

Tambah Fatin, bunyi taufan yang kedengaran mencetuskan satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Deruan angin kencang yang membinasakan itu membuatkan kami berdebar-debar….membayangkan apa akan berlaku jika homestay yang kami sewa ini runtuh,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja taufan berakhir, mereka keluar rumah untuk melihat kemusnahan yang berlaku.

Mereka menyaksikan kawasan persekitaran rosak teruk dengan sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin, pokok tumbang serta papan tanda runtuh.

“Apabila keluar rumah, kami nampak jiran berjalan mundar-mandir. Ada yang membersihkan halaman rumah dan ada yang sekadar memerhati sekeliling.

Fatin menceritakan, keadaan di tengah bandar lebih teruk, malah Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai dilimpahi air.

Disebabkan lapangan terbang mengalami kerosakan teruk, maka semua jadual penerbangan terpaksa ditunda.

“Saya kagum melihat sikap orang Jepun yang terus membersihkan halaman rumah sebaik sahaja taufan berakhir. Malah lewat petang hingga malam, masih ada peniaga membuka kedai seperti biasa,” katanya.

Fatin terus bercerita, pada waktu malam, mereka keluar berjalan-jalan dekat Dotonbori. Banyak kedai beroperasi seperti biasa walaupun beberapa ditutup. Tetapi kemeriahannya seolah-olah macam tiada apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja pulang ke inap desa, mereka menerima e-mel yang mencetuskan sedikit rasa bimbang.

“Penerbangan kami dibatalkan! Kami sepatutnya bertolak pulang pada 8 September.

“Malam itu, kami cuba menghubungi syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

“Kami dimaklumkan semua penerbangan di lapangan terbang Osaka dibatalkan, malah ada rakan memaklumkan kawasan lapangan terbang digenangi air,” katanya.

Mereka kemudian berpakat untuk tinggal lagi satu malam di inap desa dan memikirkan cara untuk pulang ke Kuala Lumpur.

“Keesokan paginya, kami dapat mesej daripada rakan-rakan di Kuala Lumpur untuk dapatkan ‘rescue flight’ Lapangan Terbang Antarabangsa Nagoya. Tanpa membuang masa, kami bersiap dan terus bergerak ke sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN