KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pembelian secara dalam talian menerusi pelbagai platform beli-belah digital di Malaysia dijangka terus meningkat meskipun ketidaktentuan persekitaran ekonomi ketika ini.
Pensyarah Ekonomi Universiti Sunway, Prof. Dr. Yeah Kim Leng berkata, orang ramai kini semakin bijak berbelanja sebab itu mereka memilih untuk membeli-belah pada waktu promosi lebih-lebih lagi acara 11.11 baru-baru ini.
Katanya, pengguna dilaporkan berbelanja tinggi pada waktu itu, tetapi perlu diingatkan penjimatan yang diraih juga tinggi seperti contoh perbelanjaan harian bagi lampin bayi.
“Sambungan internet yang baik antara faktor lain yang mendorong kepada penggunaan aplikasi beli-belah seperti Shopee, 11street dan juga Lazada.
“Malah, generasi berusia kini juga semakin mahir memanfaatkan teknologi dan membeli-belah secara dalam talian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan beberapa platform peruncitan dalam talian seperti Shopee, 11street dan Lazada yang berjaya meraih rekod baharu dalam acara beli-belah Singles’ Day pada 11.11.
Shopee
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, pihaknya merekodkan lebih daripada 11 juta pesanan dicatatkan pada 11 November dalam tempoh 24 jam, kira-kira 4.5 kali lebih besar berbanding 2017.
“Jumlah kunjungan mencecah lebih 42 juta dan di kemuncak jualan, lebih 58,000 barangan telah dijual dalam masa satu minit.
“Kategori Kesihatan & Kecantikan, Mudah Alih & Peranti dan Kediaman& Kehidupan muncul sebagai tiga kategori utama,” katanya.
11street
Ketua Pegawai Eksekutif 11street, Cheong Chia Chou berkata, 11street menerusi penganjuran jualan Shopping Madness 11 merekodkan peningkatan mendadak sebanyak enam kali ganda nilai dagangan kasar (GMV) berbanding kadar purata harian 2018.
“Pelanggan kebiasaannya memberi tumpuan dalam pembelian telefon pintar dan barangan elektronik pada penganjuran jualan utama seperti 11.11, malah, pada 2017, beberapa jenama telefon pintar merupakan antara produk paling laris.
“11street melihat dua faktor utama yang mendorong pertumbuhan berkenaan iaitu pilihan produk yang lebih meluas daripada bilangan penjual yang semakin bertambah serta penawaran harga yang kompetitif kepada pelanggan,” katanya.
Lazada
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Christophe Lejeune berkata, pihaknya mencatat rekod baharu dalam tempoh sembilan jam pertama pada 11.11, melepasi pencapaian jualan pada 11.11 tahun lalu.
“Lazada menyaksikan lebih 3,000 urus niaga yang berlaku pada setiap minit, dengan penjual mengaut purata 60 kali jumlah dagangan harian mereka.” kata beliau.










