KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di sekitar ibu kota dinaiki air sehingga menjejaskan aliran trafik serta mengakibatkan beberapa individu terpaksa dipindahkan berikutan hujan lebat berterusan selama hampir satu jam.
Hujan lebat sekitar pukul 4 petang tadi turut mengakibatkan beberapa kawasan turut dilanda banjir lumpur.
Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Shahrul Kamar Mohd. Johari berkata, sebuah keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Datuk Keramat dinaiki air sehingga paras lutut.
“Seramai tujuh individu melibatkan lima kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an termasuk seorang wanita warga emas berusia dalam lingkungan 80-an terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
“Bagaimanapun tiada sebarang laporan kemalangan jiwa yang diterima dan pemantauan di kawaan-kawasan terlibat masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, antara laluan yang dinaiki air adalah terowong SMART, Jalan Pudu Ulu, Jalan Cheras, Jalan Pudu Perdana, Jalan Datuk Keramat, Jalan Wirawati dan kawasan berhampiran PPR Hiliran Ampang.
“Beberapa buah kenderaan turut terkandas di dalam terowong di Jalan Tun Razak berikutan paras air yang naik secara mendadak namun pemandunya telah dapat diselamatkan oleh pasukan bomba.
“Tindakan penyuraian trafik dan lencongan telah dilakukan oleh petugas di lokasi dan pemantauan ke atas kawasan yang terlibat masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd. Rizal Buang berkata, Unit Pengurusan Bencana Selangor menerima laporan berhubung kejadian banjir lumpur di Jalan Putra Hulu Langat, Ampang, Selangor sekitar pukul 5.30 petang tadi.
“Lokasi tersebut merupakan kawasan rendah yang berhampiran dengan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mengakibatkan banjir lumpur setelah hujan lebat berterusan.
“Kejadian banjir lumpur di kawasan tersebut turut menjejaskan laluan utama menghala ke Bukit Ampang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mohd. Rizal, unit terbabit bagaimanapun akan meneruskan pemantauan di lokasi berkenaan untuk tindakan susulan. – K! ONLINE









