PUTRAJAYA – Pelajar Tingkatan Lima yang bersekolah dan mencapai umur 16 tahun pada tahun peperiksaan layak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun tidak mempunyai kad pengenalan, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.
Dalam satu kenyataan, KPM berkata, syarat kelayakan pendaftaran peperiksaan yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan itu membenarkan mana-mana pelajar pelajar Tingkatan Lima yang mencapai umur 16 tahun pada 1 Januari pada tahun peperiksaan didaftarkan untuk mengambil peperiksaan.
“Sistem akan menjana satu nombor pengenalan diri bagi calon yang tidak mempunyai kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran.
“Semasa peperiksaan berlangsung, Pengawas Peperiksaan boleh gunakan seperti passport, lesen memandu atau Borang LP/Am 118-Borang Pengenalan Diri Calon yang disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.
KPM berkata demikian menafikan laporan media berhubung dakwaan seorang pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, Perak Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, yang ibu bapa kandungnya berasal dari Kemboja tidak dibenarkan menduduki peperiksaan SPM. – Bernama










