JAKARTA – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui perakam data penerbangan (FDR) pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas di perairan Tanjung Karawang pagi semalam.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhammad Syaugi berkata, FDR itu ditemui pada kedalaman 30 meter, iaitu 500 meter dari koordinat pesawat itu dilaporkan terhempas.
“Kami menemui sebahagian kotak hitam iaitu FDR (tapi) perakam suara kokpit (VCR) masih belum ditemui,” katanya dalam siaran langsung yang disiarkan stesen televisyen tempatan, TV One dari Kapal KM Baruna Jaya 1, yang terlibat dalam operasi pencarian itu di perairan Tanjung Karawang semalam.
Beliau berkata, FDR itu ditemui pasukan penyelam tentera Indonesia (TNI) pada jam 10.05 pagi semalam.
Kotak hitam pesawat itu mengandungi FDR (yang merekodkan percakapan di dalam pesawat) dan CVR (yang merekodkan percakapan juruterbang dan pembantu juruterbang di kokpit).
Sementara itu, penyelam yang menemui FDR berkenaan, Sertu Hendra berkata, dia melihat sebuah kotak berwarna jingga yang tertimbus di dalam lumpur di dasar laut itu.
“Ketika itu, saya menyelam pada kedalaman 30 meter, saya juga melihat adanya bangkai pesawat yang panjangnya kira-kira satu setengah meter,” katanya.
Menurut pakar-pakar aviasi, maklumat terkandung dalam kotak hitam dapat membantu menerangkan hampir 90 peratus nahas yang berlaku.
Setiap satu kotak hitam itu mempunyai berat antara 7 kilogram(kg) hingga 10kg dan dapat bertahan pada kedalaman 6,000 meter di dalam laut atau sejam pada suhu tinggi 1,100 darjah Celsius.
Bagi memudahkan alatan itu dijumpai, setiap kotak hitam dilengkapi pemancar yang boleh menghantar isyarat selama sebulan.
Sementara itu, operasi SAR hari keempat semalam turut menggunakan teknologi canggih seperti teknologi sonar yang sebelum itu telah mengesan isyarat ‘ping’ di koordinat berkenaan.
Penerbangan JT610 yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin lalu di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628. – Bernama/AFP











