CALIFORNIA 11 Nov. – Jumlah mangsa yang terkorban akibat kebakaran hutan yang dikenali sebagai Camp Fire dan Woolsey Fire di seluruh negeri ini meningkat kepada 25 orang.
Menurut jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Scott Maclean, sebanyak 14 mayat telah ditemukan berhampiran dan di bandar Paradise manakala dua lagi mangsa terkorban dekat Malibu.
Beliau berkata, tiada maklumat lanjut diperoleh tentang punca mangsa terkorban namun mayat mereka hangus sekali gus menyukarkan pengecaman mangsa.
Camp Fire telah memusnahkan lebih 6,700 rumah dan bangunan perniagaan di Paradise iaitu jumlah tertinggi pernah dicatat dalam kejadian kebakaran di negeri ini.
Beberapa mayat mangsa yang ditemukan awal minggu ini berada di dalam atau berhampiran kereta mereka yang hangus, kata polis.
Api marak dengan pantas ke kawasan penempatan berhampiran gunung menyebabkan penduduk di kawasan tersebut terpaksa meninggalkan kenderaan masing-masing untuk menyelamatkan diri menggunakan satu-satunya jalan raya ke bandar berhampiran.
Seramai 35 mangsa dilaporkan hilang dan tiga anggota bomba cedera.
Semalam, Camp Fire menyebabkan kawasan hutan seluas 40,500 hektar musnah dan anggota bomba berjaya mengawal 20 peratus daripada kebakaran itu.
Kira-kira 800 kilometer ke selatan negeri ini, Woolsey Fire yang berlaku di kaki bukit berhampiran Malibu marak dua kali ganda dalam tempoh satu malam, sekali gus membahayakan beribu-ribu rumah.
Lebih 250,000 penduduk diarah berpindah dari bandar itu termasuk penduduk di Los Angeles dan wilayah Ventura. – REUTERS










