KUALA LUMPUR 11 Nov. – Setiap koperasi kampung yang terlibat dalam Program Desa Lestari diingatkan supaya mengatasi kelemahan pengurusan mereka supaya manfaat penubuhan koperasi tersebut dinikmati keseluruhan penduduk kampung.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, terdapat masalah yang berlaku di beberapa koperasi Desa Lestari iaitu koperasi tersebut hanya dimonopoli pengurusannya oleh golongan kecil dalam sebuah keluarga sahaja.
“Walaupun penubuhan koperasi itu bagus tetapi cara pelaksanaannya tidak sihat. Ketika kita menubuhkan koperasi bagi menggerakkan ekonomi di kampung, perlulah dipastikan penyertaannya seluas yang boleh dan lebih bermakna kepada penduduk kampung.
“Memang ada berlaku salah guna pengurusan di mana ahli jawatankuasa koperasi yang ditubuhkan itu kebanyakkan terdiri daripada satu keluarga sahaja, ada juga berlaku penyalah gunaan aset yang diberikan.
Ini kes terpencil sahaja tetapi perlu sebagai peringatan bahawa penubuhan koperasi mesti memberi manfaat kepada penduduk kampung, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Desa Lestari 2018 di Dewan Tun Razak, Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Norison Ramli dan Ketua Pengarah Infra, Datuk Rubiyah Abd. Rahman.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2013, sebanyak 101 buah kampung di seluruh negara telah dipilih menyertai Program Desa Lestari yang merupakan satu inisiatif mentransformasi desa dengan fokus utama kepada pembangunan ekonomi komuniti. – UTUSAN ONLINE










