Koperal polis didakwa meminta dan peroleh rasuah - Utusan Malaysia

Koperal polis didakwa meminta dan peroleh rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan memperoleh suapan wang berjumlah RM33,400 berhubung sindiket dokumen perjalanan palsu, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Abu Bakar Gembor, 45, didakwa sebagai koperal polis yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah  (IPD) Brickfield meminta suapan wang  RM30,000 daripada seorang lelaki, Loo Kwi Faa, 44, sebagai dorongan untuk melepaskan dirinya dan rakannya, Choong Yew Min, 29, yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket pasport/permit/visa dan cap perjalanan keluar masuk warga asing palsu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh  didakwa memperoleh wang suapan berjumlah RM3,000 daripada Kwi Faa atas perbuatan sama.

Menurut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperoleh suapan wang sebanyak RM400 daripada Kwi Faa sebagai upah kerana telah memulangkan kunci kereta Toyota Vios kepada lelaki itu.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di Restoran Chon Sai Kei, Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Entrepreneurs Park, di sini antara 18 Ogos dan 29 Ogos 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebulan sekali setiap bulan dan menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan kes. – UTUSANONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN