KUALA LUMPUR 3 Nov. – Buat julung kalinya peminat di negara ini berpeluang menyaksikan kemunculan Ahmad Dhani, Ari Lasso dan Once di satu pentas pada konsert Dewa 19 – Reunion Live in Malaysia.
Konsert yang dibawakan oleh Nizra Production itu bakal berlangsung pada 2 Februari depan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
Menurut Nik Iruwan, wakil daripada Nirza Production, kumpulan legenda Indonesia itu bakal membawakan hampir 35 buah lagu-lagu popular mereka pada konsert berkenaan.
“Tidak ada yang lebih hebat daripada mendengar kata ‘yes’ daripada Dhani dan kami berjaya membawa sekali Ari Lasso bersama-sama Once buat pertama kalinya bergabung di atas satu pentas di Malaysia.
“Konsert ini bakal menempa sejarahnya yang tersendiri,” ujar Nik Iruwan.
Sementara itu Ahmad Dhani juga melahirkan rasa berbesar hati untuk kembali bertemu peminat di negara ini selepas sedekad tidak mengadakan persembahan di Malaysia.
“Kami bersedia untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada Baladewa di sini. Sampai ketemu semua,” kata Ahmad Dhani.
Selain Ahmad Dhani Dewa 19 turut membawa tiga lagi ahli kumpulan asal Dewa 19 iaitu, Andra (gitar), Yuke (bass), Agung (dram) dan Tyo Nugros (dram).
Para peminat boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM238 hingga RM888 yang akan mula dijual pada 7 November ini.
Maklumat pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.ticketcharge.com.my atau lawati laman sosial rasmi konsert. Info lanjut boleh hubungi Info Hotline di 017-2792118. – UTUSAN ONLINE









