KOTA TINGGI 13 Nov. – Bagi memastikan aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KPP) terus dititikberatkan, Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memperluaskan konsep pematuhan kendiri (self-regulation) melibatkan semua industri di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan penguatkuasaan dalam aspek keselamatan dan kesihatan yang dijalankan jabatan berkenaan selama ini.
“Selama ini penguatkuasaan dalam aspek KPP terletak di bawah JKKP, namun kita mahu pihak majikan membentuk sistem kawalan pengurusan berdasarkan konsep pematuhan kendiri (self-regulation) sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Pertroliam Nasional Berhad (Petronas) di projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang ini.
“Kementerian berhasrat memperluaskan konsep pematuhan kendiri ini kepada semua industri sekali gus mengurangkan beban tanggungjawab dan kos penguatkuasaan yang ditanggung oleh kerajaan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










