MALAYSIA komited untuk melahirkan lebih ramai pemain badminton remaja di Asia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan menggalakkan dan memuji usaha oleh sektor swasta serta pertubuhan bebas untuk membantu agar komitmen ini menjadi satu kenyataan.
Wan Azizah, yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, peranan para pemimpin daripada kerajaan dan sektor swasta adalah bagi membolehkan generasi remaja mendapat peluang dalam sukan ini mewakili negara di pentas global.
“Menerusi asuhan dan latihan yang konsisten, bakat remaja akan mampu memenuhi permintaan bagi pertandingan peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Lagi awal kita latih mereka untuk mengambil bahagian pada peringkat global, lagi besar peluang untuk mereka berjaya dengan kemahiran yang lebih maju dan pengalaman yang lebih di pihak mereka,” katanya semasa melancarkan Kejohanan Serantau Pasukan Campuran Remaja Bawah 15 (B-15) Astro (AJC) di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Wan Azizah menambah, sektor swasta di Malaysia pada umumnya menyumbang kepada penajaan kepada atlet profesional, mengasah atlet berkenaan, menerusi platform penting seperti Kejohanan Remaja Astro (AJC) Serantau semalam.
Beliau berkata, AJC Serantau juga menyediakan peluang untuk menemui dan menjalinkan persahabatan dengan rakan-rakan dari sembilan negara seluruh Asia sepanjang tiga hari ini, bagi membina persahabatan dan mencatatkan sejarah dalam kejohanan badminton pasukan campuran B-15 yang pertama di Asia.
AJC Serantau menyaksikan penyertaan seramai 160 pemain daripada 14 pasukan dari China, Taiwan, Jepun, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
“Hari ini (semalam) saya menyatakan strategi perkongsian antara Astro dan BAM dengan pelancaran Kejohanan Pasukan Campuran Remaja Astro B-15 yang menyediakan tambahan bagi latihan dan pengalaman bermain dalam pertandingan kepada pasukan campuran.
Sementara itu, beliau berkata, kejohanan berkenaan juga penting dengan memasukkan pemain remaja perempuan dalam sukan ini agar mereka turut memperoleh pengalaman yang sama dalam bidang ini.
Wan Azizah menambah, pemain wanita Malaysia menunjukkan kehandalan mereka dalam sukan ini seperti Chow Mei Kuan-Vivian Hoo yang memenangi emas pada Sukan Komanwel tahun ini.
“Sudah tentu pasangan beregu campuran Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia yang baru-baru ini melayakkan diri ke peringkat akhir Kejohanan Dunia BWF di Guangzhou dari 12 hingga 16 Disember.
“Pasangan ini juga mencatat sejarah sebagai pasangan beregu campuran Malaysia yang pertama menang perak di Sukan Olimpik Rio,” katanya. – Bernama










