Klopp kaji kelemahan Liverpool - Utusan Malaysia

Klopp kaji kelemahan Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL – Liverpool terpaksa mencari ramuan terbaik untuk bangkit selepas tewas mengejut 0-2 di tangan pa­sukan kerdil, Red Star Belgrade dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah kelmarin.

Difahamkan, pengendali The Reds, Jurgen Klopp mengambil masa lebih tiga jam untuk melihat semula rakaman ulangan aksi tersebut bagi meneliti kelemahan anak-anak buahnya sebelum aksi Liga Perdana England (EPL) menentang Fulham Ahad ini.

Selain itu, pengurus kelahiran Jerman itu telah membuat pertemuan de­ngan barisan pemain bagi memastikan kesilapan-kesilapan mudah tidak akan diulangi selain mempertajamkan jentera serangan yang dilihat tumpul sejak beberapa perlawanan lepas.

Dalam perkembangan sama, tonggak pertahanan Liverpool, Andy Robertson mengakui masih terkilan dengan kekalahan di tangan Red Star tetapi percaya rakan-rakan sepasukannya tidak mempu­nyai masalah untuk bangkit semula.

“Suasana dalam skuad kami minggu ini tidak begitu positif kerana beberapa keputusan yang tidak memihak kepada pasukan. Malah, pengurus pasukan telah menyuarakan pendapatnya dan menyeru pasukan untuk bangkit.

“Ada beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki dan saya harap barisan pemain tidak akan mengecewakannya serta penyokong kami pada aksi menentang Fulham yang saya anggap misi wajib mengutip tiga mata penuh,” katanya.

Liverpool kini menduduki tangga ketiga EPL apabila dibezakan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas mengharungi 11 perlawanan. 
– Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN