Kisah Cikgu Husin, program #Tagupi - Utusan Malaysia

Kisah Cikgu Husin, program #Tagupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH Cikgu Husin Jafar, 62, yang saban hari berjalan kaki lebih sejam, melebihi tiga kilometer dan melintasi dua buah titian serta mengharungi dua buah sungai, besar dan kecil demi menjalankan tugasnya sebagai pendidik benar-benar menyentuh hati nurani. Kisah dan pengalaman sama turut dilalui sebahagian pelajarnya di Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI), Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu dalam perjalanan mereka saban hari demi mendapatkan ilmu pengetahuan.

Kesabaran mereka lebih teruji apabila berlaku hujan lebat dan banjir. Banjir tersebut bukan sahaja memusnahkan titian yang membawa mereka ke seberang, malah turut memusnahkan impian besar mereka untuk sehari lagi berpeluang mengisi ilmu di dada. Kisah-kisah seumpama ini yang sering didengar berpuluh tahun lalu hakikatnya masih berterusan hingga hari ini. Kisahnya masih serupa dan kecekalan mereka tetap sama. Lebih mendukacitakan, kedudukan mereka sebagai komuniti tidak bernegara turut kekal sebagaimana dahulunya.

KANAK-KANAK menyeberangi sungai untuk ke Pusat Pembangunan Minda
KANAK-KANAK menyeberangi sungai untuk ke Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI), Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.

Dilaporkan bahawa terdapat sejumlah 290,437 kanak-kanak tidak bernegara yang tinggal di negara ini. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak berkenaan tidak diberikan kewarganegaraan termasuklah ketiadaan dokumen rasmi seperti sijil kelahiran.

Status tidak bernegara menafikan hak kanak-kanak tersebut setakat ini untuk memasuki sekolah-sekolah awam, bergerak atau mengembara dan memperoleh akses kepada penjagaan kesihatan. Status tidak bernegara juga meningkatkan risiko komuniti tidak bernegara kepada penahanan, diskriminasi, penderaan, eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Dan meskipun telah memberikan komitmen terhadap pencapaian 17 matlamat yang diisytiharkan di bawah Matlamat Pembangunan Lestari 2030, Malaysia bagaimanapun masih belum mengamalkan prinsip pendidikan universal kepada semua. Kewarganegaraan masih menjadi keperluan untuk memasuki sekolah kebangsaan.

Hal ini menjadi halangan bagi banyak kanak-kanak tidak bernegara, penghijrah dan pelarian untuk mendapatkan manfaat daripada pendidikan rendah. Sehubungan itu, 12 inisiatif terbaharu peringkat sekolah yang diumumkan Menteri Pendidikan pada 17 Oktober melalui akaun facebooknya yang turut menjamin peluang untuk kanak-kanak tanpa kewarganegaraan memasuki sekolah kerajaan pada Januari 2019, mengundang kegembiraan yang bukan sedikit.

Pendidikan jelas merupakan satu-satunya mekanisme yang dapat menjamin kemajuan sesebuah masyarakat. Bagi memastikan rekod hak asasi manusia yang cemerlang dipertahankan, Malaysia perlu memastikan bahawa semua kanak-kanak dalam wilayahnya diberikan akses kepada pendidikan. Kegigihan usaha yang diambil oleh Haluan Sabah untuk menubuhkan tujuh buah sekolah rakyat yang dikenali sebagai Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) bagi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan amat dialu-alukan.

Kecekalan semangat guru-guru menjalankan tugas meskipun tanpa jaminan elaun tetap dan kedalaman minat pelajar-pelajar sekolah yang tidak tergugat oleh apa juga bentuk halangan, mengundang delegasi demi delegasi bertamu demi menghulurkan bakti. Antaranya termasuklah sekumpulan sukarelawan di bawah naungan tiga buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), iaitu Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), WAFIQ dan CONCERN yang melaksanakan misi #TagupiMembaca dari 10 hingga 13 Oktober lalu.

Dalam misi berkenaan, 15 orang sukarelawan termasuk penulis dan aktivis cilik selain seorang wartawan serta jurugambar Utusan Online, diterbangkan ke Lahad Datu, Sabah. Kumpulan sukarelawan tersebut membawa 418kg pelbagai jenis bahan bacaan, rujukan dan latihan di samping alat tulis, permainan rakyat serta peralatan penjagaan diri untuk PPMI Kampung Tagupi Laut.

Program #Tagupi Membaca berakhir dengan membawa permintaan kecil pelajar-pelajar dan tenaga pengajarnya tetapi besar maknanya buat kita semua. Antaranya sepatu yang telah rosak diganti baharu, guna mengharungi perjalanan jauh dan arus deras sungai demi meneruskan tugas mendidik anak bangsa. Demikian juga bumbung beratap nipah yang telah usang diganti dengan yang lebih kukuh, buat berteduh saat mengikuti pembelajaran dan menekuni pengajian.

Permintaan ini tidak lain, semata-mata menggambarkan kecintaan mendalam dan semangat diri yang tinggi demi ilmu pengetahuan. Kecintaan dan semangat yang tidak mungkin tertewas oleh apa pun juga halangan mahupun batasan, termasuklah kekurangan dari sudut harta benda. Beruntunglah mereka yang tergolong dalam kumpulan yang sanggup menempuh kesulitan demi mendapatkan atau menyampaikan ilmu pengetahuan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang 
dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN