KETIKA mula mempelajari subjek Matematik di peringkat awal persekolahan, selepas mengenal nombor dan turutannya, kita beralih kepada mengenal proses melibatkan tambah, tolak, darab dan bahagi. Fahaman mudah konsep bahagi ialah sama rata, tidak lebih dan tidak terkurang. Tetapi dalam realiti kehidupan, pendekatan bahagi iaitu kesamarataan tidak boleh terpakai pada semua keadaan kerana kita perlu bersandar pada satu lagi prinsip yang lebih utama iaitu keadilan.
Adalah kurang tepat jika berpegang erat pada kepercayaan dengan mengambil pendekatan kesamarataan ia akan membawa kepada keadilan. Perlu difahami kesamarataan (equality) tidak semestinya membawa kepada keadilan (equity) kerana kedua-dua mempunyai pemberat yang berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan.
Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, mengambil pendekatan kesamarataan dalam menggubal sebarang dasar khususnya berkaitan rakyat perlu dibuat secara berhati-hati. Penulis akui jelas tertulis dalam Perlembagaan Malaysia Fasal (8) Perkara 1 bahawa semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang tetapi pentafsirannya tidak harus dibuat secara selapis sahaja kerana terbukti ada pihak yang kurang bertanggungjawab menggunakan hujah ini untuk menghapuskan hak-hak kaum lain pula.
Penulis berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan kepada realiti dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukannya bersandarkan kepada andaian yang tidak berpijak di bumi nyata, diselubungi sentimen berlebihan dan lebih malang lagi demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja.
Bukan lagi sesuatu yang perlu diselindungkan kini apabila ramai pihak tidak selesa dan meluahkan bantahan keras apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy ‘membuka mulut’ bahawa kerajaan akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu berkata, langkah merealisasikan ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia, adalah selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.
Ternyata pengumuman itu mencetus reaksi tentangan hebat. Asas kukuh bantahan oleh pihak yang menentang ialah ICERD bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah secara terang lagi bersuluh akan menyentuh dan mengganggu-gugat kedudukan orang Melayu, bumiputera dan agama Islam.
Kegusaran ini timbul kerana intipati ICERD yang merupakan suatu konvensyen antarabangsa apabila ditandatangani dan diratifikasi kelak akan mengubah acuan dan asas pembentukan negara ini. Sejak mencapai kemerdekaan selama 61 tahun, pemimpin terdahulu amat berhati-hati apabila mengambil tindakan yang menyentuh kontrak sosial secara langsung kerana tidak mahu keharmonian antara kaum diperjudikan. Tindakan yang cermat ini ibarat pepatah Melayu – “Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak”.
Sedikit kelegaan dirasai apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan akan mengkaji secara terperinci termasuk berunding dengan semua kaum di negara ini sebelum meratifikasi ICERD kerana beliau mengakui ia bukan sesuatu yang mudah bagi negara ini kerana rakyat yang berbilang bangsa dan mempunyai agama kepercayaan tersendiri.
Teringat penulis pada bait-bait dialog yang mendalam maksudnya oleh Laksamana Hang Tuah yang dilakonkan oleh Datuk M. Nasir dalam filem epik Puteri Gunung Ledang. Pesan Hang Tuah – “Kalau nak menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar!”
PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.











