IPOH 1 Nov. – Kes demam denggi di Perak mencatatkan penurunan 55 peratus atau 2,227 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Oktober lalu berbanding 4,971 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, sebanyak lima kes kematian juga telah dilaporkan akibat denggi berbanding 10 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Pecahan kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pula menunjukkan hanya dua kawasan mengalami peningkatan iaitu di Daerah Manjung dengan 140 peratus dan Hilir Perak dengan 131 peratus.
Berita Berkaitan:
“Manakala daerah Kinta pula mencatat penurunan sebanyak 80 peratus, Perak Tengah dengan 64 peratus, Kampar sebanyak 58 peratus dan daerah Muallim dengan 65 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Obesiti 2018 anjuran Jabatan Pembedahan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Kompleks Rawatan Harian hospital tersebut di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah HRPB, Dr. Teoh Gim Sian.
Tambah Sivanesan, terdapat lima kawasan ‘hot spot’ juga telah dikenalpasti dan perlu diberi tumpuan oleh pihak terlibat berikutan mencatatkan jumlah kes yang tinggi.
Kata beliau, kawasan berkenaan termasuklah di Kampung Sayong Lembah di Kuala Kangsar yang mencatatkan 10 kes dan Kampung Menderang di daerah Batang Padang dengan sembilan kes.
“Selain itu, kita juga akan menumpukan kawasan perumahan awam Batu Dua Setengah di Taiping yang mencatatkan sebanyak enam kes,” katanya.











