SEREMBAN 14 Nov. – Kerajaan Negeri Sembilan memandang serius masalah perceraian melibatkan golongan lanjut usia yang semakin meningkat di negeri ini.
Sambil melahirkan kebimbangannya, Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mereka yang telah lama mendirikan rumah tangga.
“Orang muda bercerai perkara biasa tetapi ada fenomena terbaharu melibatkan perceraian dalam kalangan mereka yang mencapai usia pencen iaitu 55 tahun dan 60 tahun.
“Ini masalah yang besar dan tidak sepatutnya berlaku. Mungkin kerana duit EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan duit pencen banyak, mungkin ada yang berminat dengan duit mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata, beliau meminta golongan yang mencecah usia warga emas supaya tidak bercerai kerana ia akan memberi kesan kepada keluarga mereka.
“Saya nasihatkan mereka supaya cukuplah, jangan ada perceraian kerana ia akan memalukan keluarga dan ini harus kita jaga,” katanya yang bagaimanapun tidak menyebut jumlah kes perceraian melibatkan golongan itu. – UTUSAN ONLINE










