Keratan mayat Jamal dilupus guna asid - Utusan Malaysia

Keratan mayat Jamal dilupus guna asid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA 11 Nov. – Pembunuh Jamal Kha­shoggi didakwa membuang keratan mayat wartawan Washington Post itu di dalam longkang selepas melupuskannya menggunakan ba­­han kimia dipercayai asid.

Channel News Asia yang me­metik artikel dalam akhbar lidah rasmi kerajaan Turki, Sabah melaporkan bahawa beberapa sampel yang diambil dari longkang di Konsulat Arab Saudi di Istanbul menunjukkan kesan asid.

Penemuan tersebut secara tidak langsung memberi gambaran kepada pasukan pe­nyiasat bahawa keratan mayat Jamal dibuang menerusi longkang se­perti cecair.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jamal dilihat buat kali terakhir memasuki konsulat tersebut pada 2 Oktober lalu bagi mendapatkan dokumen untuk berkahwin dengan tunangnya yang merupakan warga Turki.

Selepas beberapa kali membuat penafian, Arab Saudi ak­hir­nya membuat pengakuan bahawa Jamal yang berusia 59 tahun dibunuh selepas berga­duh dalam konsulat tersebut.

Bagaimanapun, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan me­nuduh ‘pihak berkuasa tertinggi’ Arab Saudi yang me­­ngarahkan supaya Jamal dibunuh kerana beliau dilihat lantang mengkritik dasar kerajaan Riyadh yang dilakukan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Penasihat kepada Recep Tay­yip, Yasin Aktay memberi gambaran bahawa keratan ma­yat Jamal sudah dilupuskan menggunakan asid.

Pasukan penyiasat Turki sebelum ini memaklumkan bahawa Arab Saudi menghantar dua pakar bahan kimia dan toksik ke Istanbul bagi menghapuskan bukti pembunuhan Jamal.

Dua pakar tersebut adalah Ahmad Abdulaziz al-Janobi dan Khaled Yahya al-Zahrani.

Sabah melaporkan bahawa kedua-dua pakar tersebut me­ngunjungi bangunan konsulat setiap hari selepas tiba di Istanbul pada 11 hingga 17 Oktober lalu.

Arab Saudi pula hanya membenarkan pasukan pe­nyiasat Turki memasuki premis berke­naan pada 15 Oktober.

Dalam pada itu, tunang Jamal iaitu Hatice Cengiz menerusi Twitternya melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan cara pembunuh melupuskan mayat kekasihnya itu.

“Saya tidak mampu untuk meluahkan rasa sedih selepas mengetahui bagaimana jasad awak dilupuskan, Jamal.

“Mereka bunuh dan kerat tubuh awak, menyebabkan saya dan keluarga sukar untuk menyembahyangkan serta mengebumikan jenazah awak di Madinah seperti yang diminta sebelum ini,” tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×