Kerajaan pertahan bina pusat sembelih ayam di Selayang - Utusan Malaysia

Kerajaan pertahan bina pusat sembelih ayam di Selayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Kerajaan mempertahankan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina Pusat Penyembelihan Ayam Halal berdekatan Pasar Borong Harian Selayang, di sini.

ADNAN MD. IKSHAN

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikshan berkata, dakwaan mengenai kesesakan lalu lintas, virus selesema burung, pembiakan lalat dan langau, tidak patuhi garis panduan dan lambakan warga asing adalah tidak benar dan berharap supaya penduduk setempat faham akan kepentingan dan keperluan fasiliti itu dibina.

“Pusat berkenaan mempunyai sistem dan fasiliti moden yang berteknologi tinggi, dibina secara tertutup dengan dilengkapi penghawa dingin, kawalan makhluk perosak, loji rawatan air kumbahan dan perparitan yang sistematik.

“Projek ini bukan sahaja untuk kepentingan masyarakat setempat malah keseluruhan warga Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Adnan, pengoperasian pusat itu dipantau rapi oleh kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan DBKL.

“Bagi mereka yang membantah pembinaan projek ini, kerajaan menyeru supaya mereka mendapatkan maklumat yang tepat daripada kementerian.

“Kerajaan tidak mahu penduduk di sekitar kawasan tersebut untuk terus tinggal dan berurus niaga di dalam kawasan yang kotor, sesak dan membahayakan keselamatan serta kesihatan mereka,” katanya.

Pada 8 November lalu, kira-kira 800 penduduk di sekitar Selayang menyerahkan memorandum kepada DBKL bagi membantah tindakan kerajaan membina fasiliti berkenaan kerana dikhuatiri menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran bau dan ancaman virus selesema burung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN