IPOH – Kerajaan negeri Perak mengagihkan peruntukan RM3 juta kepada 261 sekolah bantuan kerajaan (SBK) di seluruh negeri di sini hari ini melalui sistem yang baru diperkenalkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, dana bantuan kepada SBK itu untuk tahun ini itu dibahagikan berdasarkan jumlah pelajar dan bilik darjah di sekolah masing-masing.
“Separuh daripada dana tersebut akan diagihkan secara adil berdasarkan jumlah pelajar dan bakinya dibahagikan mengikut jumlah bilik darjah.
“Dengan demikian, setiap sekolah akan mendapat peruntukan secukupnya antara RM2,000 hingga RM50,000 mengikut sistem tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek dana bantuan tersebut kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Tambah Howard, sistem tersebut akan memberi manfaat kepada 86,666 pelajar daripada 5,082 bilik darjah dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan sekolah mubaligh.
“Kerajaan negeri memilih kaedah baru ini supaya semua pelajar dan sekolah termasuk yang mempunyai pelajar kurang daripada 100 murid turut mendapat bantuan daripada kerajaan negeri.
“Sistem ini juga dilaksanakan selepas perbincangan dengan beberapa pegawai pendidikan, guru besar dan guru-guru mengenai keperluan persekolahan untuk semua pelajar,” katanya. – K! ONLINE










