KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyemak kembali pelaksanaan Program Susu 1Malaysia (PS1M) sebelum membuat keputusan sama ada meneruskan ataupun membatalkan program itu pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Beliau berkata, program itu tidak akan diteruskan tahun ini kerana sesi persekolahan 2018 sudah hampir ke penghujungnya dan cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi.
“Takkanlah hendak dihantar ke sekolah dengan tidak ada orang,” katanya kepada pemberita, di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan berita semalam bertajuk ‘Kerajaan tiada rancangan untuk menyambung semula Program Susu 1 Malaysia buat masa ini’.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, PS1M dianggap very scandalous (diselubungi skandal) kerana bukan sahaja pihaknya yang tidak tahu kehilangan bekalan susu tersebut tetapi juga bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – Bernama










