Kerajaan akan tangani harga minyak sawit - Utusan Malaysia

Kerajaan akan tangani harga minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kemerosotan harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia semalam, yang terbesar dalam tempoh lebih 21 bulan adalah membimbangkan, tetapi kerajaan akan melakukan pelbagai usaha untuk mena­ngani isu itu, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Semasa ditutup semalam, penanda aras kontrak MSM bagi penghantaran Februari di Bursa Malaysia Derivatives Exchange susut 3.9 peratus kepada RM1,965 satu tan, kejatuhan satu hari yang terbesar sejak 16 Februari tahun lepas.

Menyifatkan situasi harga rendah sebagai normal berdasarkan kitaran perladangan, beliau berkata, pengeluaran minyak makan di peringkat global dalam tempoh dua tahun lepas meningkat berikutan cuaca yang baik membawa kepada peningkatan stok.

“Harga merosot serendah RM1,500 satu tan pada November 2008 dan ia turut jatuh pada 2009.

“Tetapi apabila ini berlaku, kita perlu meneruskan pengli­batan dengan pihak berkepen­tingan untuk memastikan walaupun harga rendah, kita masih berusaha untuk memastikan pasaran memberi respons yang positif,” katanya selepas Seminar Kebangsaan mengenai Pengila­ngan Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Kualiti di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu itu, termasuk melalui penglibatannya dalam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).

“Kita merupakan pengerusi majlis itu untuk tahun ini. Oleh itu, kita akan menggunakan platform ini untuk menghadapi cabaran harga,” katanya.

Beliau memberitahu, Malaysia akan bekerjasama dengan pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, Indonesia untuk mengatasi masalah itu.

Pengeluaran minyak sawit kedua-dua negara itu menyumbang 83 peratus daripada mi­nyak sawit dunia.

Katanya, dengan pelaksana­an program biodiesel B10 pada tahun depan, diharapkan harga MSM akan menjadi positif pada suku pertama 2019. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN