KUALA LUMPUR 5 Nov. – Apa sahaja kecaman atau sudut pandangan orang luar terhadap mutu pengadilan Suresh Jayarama dalam perlawanan final Piala Malaysia pada 27 Oktober lalu, keputusan dibuat adalah tepat dalam beberapa situasi kontroversi yang dilakukannya pada aksi final di antara Terengganu dan Perak di Stadium Shah Alam, pada 27 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh menjelaskan secara terperinci kepada media selepas sesi tayangan semula beberapa video aksi kontroversi di final tersebut yang hangat diperdebatkan dalam media sosial.
Antara keputusan tepat yang dibuat Suresh termasuk membatalkan jaringan penyamaan pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-31 dan membenarkan kedudukan penjaga gawang, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang berada di dalam gol sebelum sepakan penalti diambil pemain Terengganu.
Berdasarkan tayangan semula video perlawanan akhir itu, Subkhiddin berkata Leandro didapati menggunakan tangan kirinya untuk menghalang penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman daripada mencabar bola.
“Hafizul pula dilihat memijak garisan gol ketika pemain Terengganu melakukan sepakan penalti walaupun dia berada di dalam gol sebelum sepakan dibuat.
“Perkara ini (kedudukan penjaga gawang di dalam gol) subjektif dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga sedang mengkaji mengenainya,” katanya selepas mesyuarat khas jawatankuasa tersebut, di Wisma FAM, hari ini.
Tatkala berakhir aksi final Piala Malaysia, Suresh menerima kecaman hebat dan ada yang menyifatkan jaringan Leandro harus dikira selain mendakwa Hafizul melakukan kesalahan ketika penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 setelah tamat masa tambahan.
Situasi itu turut melibatkan Subkhiddin apabila dia turut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak kerana memilih Suresh mengadili perlawanan akhir itu.
Terdapat juga yang mahu bekas pengadil FIFA itu melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.
Atas desakan dan komen keterlaluan yang diterimanya di media sosial, Subkhiddin mengumumkan peletakan jawatannya ketika sidang media namun dia tetap mempertahankan pendiriannya dengan menjelaskan bahawa pemilihan Suresh adalah berdasarkan prestasi sepanjang mengendalikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.
“Saya bukan nak mempertahankan pengadil (Suresh), tapi keputusan yang betul kita perlu jelaskan yang ia betul. Jika salah kita perlu akui salah.
“Pada masa sama saya mengakui ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki terutama daripada aspek komunikasi dan mengawal permainan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE Habis…..///










