KOTA KINABALU – Teka-teki mengenai pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Cabang Keningau yang masih belum memperoleh keputusan jumlah undi sehingga kini terjawab selepas mendapati berlakunya masalah teknikal semalam.
Menurut sumber, Dewan Pekan Kampung Merapong di Keningau yang dijadikan sebagai pusat pemilihan bagi Cabang Keningau didapati tidak mempunyai talian telefon dan internet.
“Atas faktor ini sukar untuk kita mendapatkan keputusan serta-merta kerana data undi terpaksa dikira selepas tablet yang digunakan ketika mengundi dihantar ke bilik gerakan di Pekan Keningau.
“Di sana (Pekan Keningau), mempunyai akses internet dan talian telefon bagi memudahkan proses pengiraan undi dijalankan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Tambah sumber, walaupun tiada kemudahan internet namun, ahli Cabang Keningau masih menjalankan pengundian menggunakan kaedah e-undi secara offline.
Justeru, keputusan rasmi jumlah undi bagi Cabang Keningau dijangka diumumkan selewat-lewatnya petang ini.
Semalam, berlaku kekecohan di Cabang Keningau apabila calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa dipukul seorang lelaki sehingga memaksa beliau beredar dari dewan.
Berikutan kejadian itu, Rafizi membuat laporan di Balai Polis Daerah Keningau pada hari yang sama.
Direkodkan selain Cabang Keningau, fasa pertama pemilihan PKR Sabah semalam turut berjalan serentak di Cabang Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan.
Sementara baki 13 cabang seperti di Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar pula berlangsung hari ini. – K! ONLINE










