Kepentingan ilmu untuk anak Rohingya - Utusan Malaysia

Kepentingan ilmu untuk anak Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNGA pada 20 November 1989 menerima pakai Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang memberikan perlindungan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.

Berdasarkan konvensyen itu, semua kanak-kanak tanpa mengira jantina, latar belakang, status sosioekonomi, kepercayaan agama dan kebolehan diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak-hak asasi untuk membesar dan mendapat perlindungan dalam kehidupan mereka.

Di Malaysia untuk mencapai hasrat konvensyen, satu akta yang dinamakan Akta Kanak-kanak (2001) diluluskan oleh Parlimen untuk mengimplementasikan hasrat konvensyen berkenaan.

Pendidikan adalah asas terpenting dalam kehidupan manusia. Pendidikan menjadikan manusia kenal tentang kehidupan yang bakal ditempuhi pada masa akan datang, apatah lagi apabila melibatkan kanak-kanak.

Sedari kecil lagi mereka harus diberikan pendedahan yang cukup untuk bekalan mereka. Malangnya di negara kita, anak-anak pelarian Rohingya tidak dapat memenuhi tuntutan pendidikan mereka melalui penawaran yang sama dengan anak-anak warganegara.

Status mereka sebagai seorang pelarian menjadikan peluang mereka cukup sukar untuk menerima semua ini. Bermula daripada isu inilah Malaysian Relief Agency (MRA) mula memainkan peranan untuk membantu kanak-kanak ini. Melalui MRA, anak-anak pelarian Rohingya diyakini akan juga mempunyai hak untuk mendapat kehidupan terutama pendidikan untuk mereka.

Ketika MRA baru ditubuhkan pada 2009, ketika itu jugalah Rohingya Community School (RCS) ditubuhkan untuk merealisasikan impian mereka. Dengan tekad yang tinggi, RCS sudah beroperasi hampir 10 tahun di bawah seliaan MRA.


MULA MENGENAL ILMU

MRA mempunyai dua buah pusat pendidikan komuniti Rohingya di Malaysia buat masa ini iaitu di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah. Pusat ini ditubuhkan untuk memberikan pendedahan mengenai betapa pentingnya pendidikan buat mereka dari segenap sudut ilmu yang harus mereka teroka.

Malah MRA juga mempunyai sebuah sekolah untuk pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

Penawaran subjek asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan beberapa keunikan yang lain menjadikannya pemula perjuangan mereka untuk kembali semula ke bumi Myanmar sebagai manusia yang mempertahan hak mereka dengan ilmu dan bukan lagi dengan peperangan.

Selain daripada tawaran pendidikan asas, anak-anak ini diberi pendidikan kewarganegaraan seperti bahasa Rohingya dan bahasa Myanmar sendiri untuk membangkitkan jati diri mereka agar tahu asal usul mereka.

MRA melihat usaha ini penting untuk memberikan gambaran yang jelas buat mereka iaitu mengapa harus menimba ilmu.

Malah dengan kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan NGO, agensi kerajaan dan institusi pendidikan awam dan swasta, pelbagai program dilaksanakan bersama-sama dalam mendedahkan anak-anak pelarian ini tentang realiti dunia hari ini.

Program kemahiran insaniah diperkukuh, malah ibu bapa mereka juga harus mengambil bahagian bersama-sama pihak sekolah.


VISI ILMU UNTUK UMMAH

Membangunkan manusia haruslah bermula dengan ilmu dan mengakhiri sesuatu masalah juga harus diselesaikan dengan ilmu.

Visi MRA jauh untuk melihat anak-anak ini akan pulang semula ke negara mereka sebagai manusia yang dihormati dan mempunyai hak untuk diiktiraf.

Tanpa ilmu, perjalanan hidup mereka akan berhenti sampai setakat itu dan terus menjadi pelarian di bumi asing. Mereka mesti tahu apa yang mereka mahukan dan MRA akan terus membantu memberikan rasa kemanusiaan yang adil.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bagi membantu MRA menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik kepada kanak-kanak pelarian Rohingya boleh menghubungi pejabat MRA padad talian 03-91744672 atau 012-209 6577 (Fauziah Tahar) dan 012-905 7374 (Sharifah Aminah Al Khared).

‘Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada yang lain’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN