KUALA LUMPUR 10 Nov. – Selepas gagal memberi aksi sebenar ketika menentang Kemboja ekoran permukaan padang tiruan, Akram Mahinan percaya, Harimau Malaya sudah bersedia menukar permainan ke ‘gear lima’ apabila menentang Laos pada perlawanan kedua Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil Isnin ini.
Malaysia dipaksa berhempas pulas ketika menewaskan Kemboja 1-0 di Phnom Penh kelmarin, dan memperoleh gol tunggal menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30.
Kemenangan itu meletakkan Harimau Malaya di tangga kedua Kumpulan A di belakang Vietnam yang membenam Laos 3-0 dalam satu lagi perlawanan.
“Alhamdulillah kami berjaya memenangi perlawanan pertama tetapi ia tidak diraih dengan mudah kerana bermain di atas permukaan rumput tiruan sangat sukar. Saya lega kami akhirnya melepasi ujian pasukan getir.
“Semua pemain mengadu tentang perkara yang sama. Kami gagal melakukan hantaran-hantaran tepat kerana bola kerap melantun, selain pergerakannya juga menjadi lebih pantas.
“Bagaimanapun kami tetap puas berjaya mengutip tiga mata. Kami juga puas kerana selepas ini tidak perlu beraksi lagi di atas padang rumput tiruan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Pada perlawanan itu, Akram diturunkan dalam kesebelasan utama namun dia dikeluarkan ketika permainan berbaki lima minit digantikan dengan Irfan Zakaria.
Kata pemain tengah Kedah berusia 25 tahun itu lagi, Malaysia perlu memanfaatkan perlawanan menentang Laos, Isnin ini kerana mereka bukan sahaja akan beraksi di laman sendiri, malah pertemuan itu antara yang wajib dimenangi memandangkan skuad negara bakal berdepan dua lagi cabaran yang lebih sukar.
Harimau Malaya akan bertandang ke Vietnam pada 16 November, sebelum menutup kempen Kumpulan A dengan menentang Myanmar di Bukit Jalil pada 24 November.
Kemboja dan Laos dilihat sebagai pasukan paling lemah dalam Kumpulan A, dan menjadi peluang terbaik buat Malaysia untuk mendapatkan mata.
Juara 2008, Vietnam sebaliknya memegang status pasukan No. 1 Asia Tenggara ketika ini dengan menghuni ranking ke-102 dunia manakala Myambar berkedudukan 141 dunia.
Malaysia, juara 2010 pula berada di ranking ke-169 dan Laos yang tidak pernah layak ke separuh akhir menghuni tangga ke-181.
Hanya dua pasukan teratas layak ke separuh akhir.









