ALOR SETAR – Kementerian Wilayah Persekutuan berpuas hati dengan peruntukan sebanyak RM1.57 bilion disediakan kepada kementerian itu menerusi pengumuman Belanjawan 2019 semalam.
Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, peruntukan yang diberikan kepada kementerian secara keseluruhannya adalah memadai.
“Kita dapati memang ada peningkatan bajet yang mana antara sebabnya adalah penambahan portfolio.
“Bagi kita, peruntukan RM1.57 bilion itu adalah memadai kerana DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) mempunyai bajet sendiri hasil daripada pendapatan lain termasuk kutipan cukai, begitu juga di Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 di Medan Bandar di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – K! ONLINE










