PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan melancarkan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti (e-Scroll) bagi mengatasi masalah ijazah palsu sekali gus memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di negara ini.
Dalam satu kenyataan di sini, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menggunakan sistem itu pada istiadat konvokesyen esok.
“Sistem e-Scroll yang menggunakan teknologi Blockchain dibangunkan oleh satu konsortium disertai enam universiti awam yang diketuai UIAM susulan rumusan daripada Majlis Dekan-dekan ICT universiti-universiti Malaysia pada Januari lalu,” katanya.
Lima lagi universiti ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi Mara.
Siti Hamisah berkata, langkah memperkenalkan e-Scroll dibuat berikutan peningkatan bilangan ijazah palsu yang boleh didapati dengan mudah menerusi Internet. – Bernama










