KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membangunkan platform data terbuka bagi menyediakan akses kepada data kerajaan sambil menggalakkan industri berkongsi data mereka.
Berucap merasmikan Forum Transformasi Digital Asia di sini hari ini, Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif baharu itu akan dibangunkan secara bersama dengan Unit pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Mengulas perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berkata kementerian dan agensi-agensi di bawahnya masih mengkaji proses dan mekanisme bagi tujuan tersebut.
“Saya perlu membentangkannya kepada kabinet pada suku pertama tahun depan. Jika Kabinet luluskan, kita boleh mula mengusahakannya. Perkara ini ambil masa. Saya rasa jika kita lihat di tempat lain sudah ada negara yang memulakannya,” kata Gobind.
Menurutnya, masyarakat dapat mengakses banyak maklumat di negara terbabit menerusi kerajaan digital dan ia juga dapat membantu industri serta sektor komersil. – Bernama










