MUNICH 28 Nov. – Bayern Munich mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas membenam Benfica 5-1 di laman sendiri dalam aksi Kumpulan E, hari ini, sekali gus memberikan ketenangan kepada pengendalinya, Niko Kovac.
Arjen Robben dan Robert Lewandowski kedua-duanya menjaringkan dua gol sebelum jaringan Franck Ribery melengkapkan kemenangan bergaya mereka di Arena Allianz, dengan Benfica sekadar diberi satu gol saguhati menerusi Gedson Fernandes.
Kemenangan tersebut sekali gus melonjak motivasi skuad kemdalian Kovac, yang meniti prestasi hambar apabila sekadar menang dua dan kalah tiga dalam lapan perlawanan terkahir Bundesliga.
“Jaringan ini sangat penting bukan hanya untuk saya, tetapi untuk pasukan.
“Kami bermain dengan baik, mendapat rentak yang diinginkan dan menyerang dengan bagis. Kami tidak banyak bolos.
“Kemenangan yang melonjakkan keyakinan kami pada ketika kami benar-benar memerlukannya,” kata Robben.
Kemenangan tersebut memberikan kelegaan kepada Kovac, yang memerlukan satu lagi kemenangan di ketika menentang Werder Bremen dalam saingan Bundesliga Sabtu ini.
“Kami semua tahu bagaimana keberkesanannya dalam bola sepak, namun kami menang bersama dan kalah bersama, jurulatih berada bersama kami, kami bergerak sebagai satu pasukan pada setiap hari,” tambah Robben.
Kemenangan itu merupakan pencapain ke-11 Bayern berjaya melangkah ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.- AFP










