KUALA LUMPUR 12 Nov. – Pengumuman kemenangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikumpul sejak hari pertama pemilihan parti itu melibatkan kesemua negeri.
Utusan Online difahamkan oleh sumber daripada kem Mohamed Azmin, keputusan tidak rasmi itu turut mengambil kira hasil pengundian di Cabang Julau, Sarawak yang digantung oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR akibat sistem pengundian elektronik digodam.
Menurut sumber itu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tetap menang di Cabang Julau dengan majoriti lebih 1,000 undi, namun belum cukup untuk mengatasi keseluruhan undi yang diterima oleh Mohamed Azmin di seluruh negara.
Sumber itu bagaimanapun berkata, Mohamed Azmin sendiri tidak mengisytiharkan beliau telah menang, sebaliknya pengumuman kemenangan dibuat oleh para penyokongnya berdasarkan keputusan pemilihan yang dikumpul.
“Beliau tidak umum pun. Cuma ucap terima kasih. Penyokong yang umum,” kata sumber itu.
Mohamed Azmin menerusi status dalam akaun Twitter semalam seolah-olah memberi isyarat awal kemenangan beliau dalam perebutan jawatan berkenaan yang kemudiannya dihujani dengan ucapan tahniah daripada para pengikutnya.
“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya.
Rafizi sebelum ini diramalkan menang besar di Cabang Julau, sekali gus memadamkan kelebihan 4,000 undi yang dimiliki Mohamed Azmin.
Ahli PKR di cabang itu bertambah secara mendadak daripada 600 ahli kepada 13,000 ahli pada Jun lalu yang dikatakan akan memberi kemenangan kepada Rafizi. – UTUSAN ONLINE











