KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kemelut yang menyelubungi pemilihan PKR hari ini membuktikan kepentingan peribadi sudah menguasai parti tersebut.
Bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, kerana kepentingan peribadi itu menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk manipulasi dan menipu.
“Mana mungkin bilangan ahli di sesebuah Parlimen boleh terus meningkat daripada hanya 600 kepada lebih 13,000 orang dalam masa yang cukup singkat dan perkara itu sudah berlaku.
“Secara peribadi saya menganggap wujudnya unsur penipuan selain percubaan untuk menjatuhkan barisan kepimpinan yang lain,” katanya kepada Utusan Online, hari ini.
Lum Yong mengulas kemelut yang melanda pemilihan PKR menjelang pemilihan di cabang Julau yang dikatakan penuh kontroversi ekoran peningkatan mendadak ahli di cabang tersebut dari 600 kepada 13,000 orang dalam masa singkat.
Bagi sesetengah pihak dalam PKR menyifatkan peningkatan mendadak keahlian itu satu manipulasi dan mendesak pemilihan di cabang berkenaan digantung.
Sementara itu, mengulas hal yang sama, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, kemelut yang terjadi hari ini membuktikan parti tersebut sudah lari daripada perjuangan asal.
Katanya, kepentingan peribadi lebih diutamakan sehingga mendedahkan parti kepada perpecahan.
“Sepatutnya dengan peluang yang ada mereka tunjukkan kepada BN bahawa PKR juga mampu mentadbir Malaysia dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











