LEBIH sebahagian ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberi kata dua kepada Presidennya, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sama ada mengiktiraf keputusan Kongres Luar Biasa (EGM) atau mereka terpaksa memilih presiden baharu buat badan induk bola sepak negeri tersebut.
Seramai 52 daripada 96 ahli gabungan yang hadir pada EGM di Hotel Nouvelle Seri Kembangan kelmarin sebulat suara mengekalkan Tengku Amir sebagai peneraju FAS, namun melakukan perubahan besar bagi jawatan-jawatan lain termasuk timbalan dan naib presiden.
Pada kongres tersebut, Datuk Ariffin Ab. Hamid dan Omar Ali telah dilantik sebagai Naib Presiden melalui proses pemilihan semula selain melantik 13 Ahli Jawatankuasa Eksekutif melibatkan muka-muka baharu.
Keputusan itu secara tidak langsung enggan mengiktiraf kedudukan Naib Presiden, Izhar Moslim dan Johan Kamal Hamidon yang juga Setiausaha Agung FAS meskipun kedua-dua individu tersebut dilantik oleh Tengku Amir Julai lalu.
Justeru, Omar menegaskan, ahli gabungan yang hadir sedia memilih presiden baharu FAS sekiranya Tengku Amir enggan mengiktiraf keputusan yang diputuskan pada EGM tersebut.
“Kami berharap Tengku Amir menerima keputusan ini, namun jika baginda enggan serta tetap menolak, semua ahli gabungan yang hadir tidak teragak-agak untuk memilih presiden baharu untuk menerajui FAS selepas ini.
“Pada EGM kali ini, ahli gabungan telah melantik Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baharu serta bersedia melakukan pemilihan presiden jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan.
“Tujuan EGM kali ini adalah untuk membersihkan nama kami selepas selama ini dianggap menentang Tengku Amir.
“Namun, EGM yang dihadiri 52 ahli gabungan kali ini sebulat suara melantik semula Tengku Amir sebagai Presiden FAS. Sememangnya ini peranan dan fungsi kami daripada awal untuk mengadakan EGM dan bukannya mahu menentang Tengku Amir,” katanya.
Dua individu lain yang dipilih untuk mengisi dua lagi slot naib presiden ialah Hamdan Hashim dan Roslin Shariff, manakala bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Pemilihan pada kongres tersebut dianggap sah oleh ahli gabungan yang hadir mengikut Artikel 34.1 Statut FAS 2010 meskipun wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) tidak hadir setelah dihantar jemputan.
Kemelut tersebut berlaku difahamkan apabila 55 ahli gabungan telah dipecat selepas sebulan Tengku Amir menerajui FAS atas alasan baginda mahu melakukan perubahan dalam pentadbiran bola sepak Selangor.
Omar memberitahu, pihaknya bakal menyerahkan segala dokumen kepada PSM dan mengakui EGM tersebut memenuhi syarat seperti yang digariskan dalam Artikel 30 FAS.
“Ia merupakan satu perubahan besar dalam FAS dan selepas EGM ini, kami bakal serahkan segalanya kepada PSM. Ia kali pertama terjadi dalam FAS apabila ahli gabungan sendiri mengadakan kongres.
“Saya percaya EGM kali ini sah memandangkan lebih 50 peratus ahli gabungan hadir daripada 96 jumlah keseluruhannya mengikut Artikel 30 yang ditetapkan,” ujarnya.










