Kemboja tolak pembinaan pangkalan tentera - Utusan Malaysia

Kemboja tolak pembinaan pangkalan tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PNOM PENH 19 Nov. – Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menolak kewujudan sebarang pangkalan tentera asing di negara ini ketika terdapat laporan bahawa China telah melobi untuk memiliki pangkalan tentera laut di barat daya Wilayah Koh Kong.

Asia Times, yang memetik sumber dan penganalisis yang ti­dak dikenali berkata, Beijing telah melobi Kemboja sejak 2017 untuk membina pangkalan tentera laut, agar menjadi tuan rumah bagi kapal perang frigat, kapal perang pemusnah dan kapal-kapal lain milik Angkatan Tentera Laut Pembebasan Rakyat.

“Perlukah Kemboja me­langgar Perlembagaannya untuk membenarkan pangkalan tentera asing di wilayahnya?

“Kemboja hendak berpe­rang dengan siapa sehingga memerlukan tentera ­asing?

“Saya tidak memerlukan orang asing untuk berperang di wilayah Kemboja seperti dahulu, tidak juga Kemboja membenarkannya menjadi tempat untuk eksperimen ideo­logi atau senjata,” kata Menteri Penerangan, Khieu Kanharith memetik Hun Sen sebagai berkata di Facebook semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Pangkalan tentera laut dikatakan sebahagian daripada projek Kumpulan Pembangunan Kesatuan Tianjin (UDG) China, yang telah bermula sejak 2008 di kawasan seluas 45,000 hektar di taman negara bagi tempoh selama 99 tahun.

Tidak ada banyak maklumat tentang projek yang bernilai AS$3.8 bilion (RM15.93 bilion) atau perkembangan mengenainya.

UDG juga membelanjakan AS$45 juta (RM188.6 juta) untuk pelabuhan yang menurut laporan The Asia Times, adalah pangkalan tentera laut.

Perunding pembangunan syarikat, Sawac yang berpangkalan di Kemboja, yang ditugaskan oleh Kementerian Alam Sekitar berkata, pelabuhan itu mampu me­ngendalikan sehingga empat kapal kontena seberat 20,000 tan.

Pelabuhan itu dikawal oleh tentera Kemboja dan masih belum siap ketika Reuters melawatnya pada Jun lalu.

China, sekutu serantau Hun Sen yang terkuat, te­lah memberi berbilion dolar dalam bentuk bantuan pembangunan dan pinjaman ke­pada Kemboja menerusi rangka kerja dua hala dan inisiatif ‘Belt And Road’ China.

Inisiatif itu, yang diumumkan oleh Presiden China Xi Jinping pada tahun 2013, bertujuan meningkatkan rang­kai­an darat dan laut dengan Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika.

Ia telah menarik banyak perniagaan komersial China di Kemboja, termasuk kasino dan zon ekonomi khas. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×