BALING 14 Nov. – Bagi golongan yang tinggal di bandar, berumah besar dan berkereta mewah, mereka mungkin sama sekali tidak akan memahami kesusahan dialami kalangan pekebun kecil getah di kawasan terpencil, termasuk di kampung-kampung di sini.
Salah seorang yang kini berdepan dengan situasi itu adalah Shabudin Othman, 48 dan isterinya, Nor’aini Mohd. Akhir, 42, yang tinggal di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang dekat sini.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, pendapatannya hanya sekitar RM500 sebulan bagi menampung kehidupan mereka lapan beranak.
“Terus terang saya katakan, keadaan ketika ini memang menekan. Apatah lagi saya perlu menyara anak bongsu, Nur Qaisarah Aqilah, 6, yang mengidap penyakit cerebral palsy mengakibatkannya hanya mampu terlantar.
“Setiap dua atau tiga bulan sekali, kami perlu ke hospital sama ada di Kepala Batas, Pulau Pinang, Sungai Petani atau Alor Setar. Kos lampin pakai buang, susu dan makanannya pula mencecah RM600 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Shabudin menambah, bantuan sebanyak RM350 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedikit melegakannya.
“Begitu pun saya masih perlu berjimat cermat. Saya tak tahu sama ada masih wujud orang yang memberikan anaknya RM1 sehari untuk ke sekolah tetapi itulah nilainya yang mampu saya berikan kepada anak saya setiap hari,” katanya.
Tambahnya, ketiadaan insentif kepada golongan penoreh getah termasuk bantuan musim tengkujuh (BMT) seperti diberikan kerajaan terdahulu mengecewakan golongan sepertinya.
Mana-mana pihak yang ini menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun BSN milik Shabudin bernombor 02005-41-00012493-2.










