Kelantan tawar Pendidikan Rabbani sebagai alternatif - Utusan Malaysia

Kelantan tawar Pendidikan Rabbani sebagai alternatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Nov. – Kerajaan Pas Kelantan sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan supaya Dasar Pendidikan Rabbani yang dilancarkannya pada Februari lalu menjadi alternatif dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains Dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, dunia Islam termasuk Malaysia perlu bertekad mengembalikan pendidikan kepada acuan Islam yang menggabungkan aspek duniawi dan ukhrawi.

 Beliau berkata, pihaknya telah mula menerapkan agenda rabbani dalam sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sejak tiga dekad lalu dan permata-permata yang lahir daripadanya kini sedang berkhidmat kepada ummah di pelbagai sektor dalam negara.

 “Kita bukan menolak kerangka pendidikan Malaysia namun kita percaya acuan Islam mempunyai ramuan pemulih berkesan kepada anasir-anasir negatif yang menghambat pendidikan.

 “Visi ketuhanan dan ukhrawi dalam Dasar Pendidikan Rabbani mampu menjadi benteng penting kepada berbagai serangan gerakan semasa terhadap Islam hatta isu LGBT sekali pun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Pendidikan Islam – Pendidikan Rabbani (ICIED) 2018 dengan tema Bersama Membina Generasi Rabbani di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Seminar itu telah dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Intelektual Muslim Malaysia (PIMM), Prof. Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Sebanyak 107 kertas kerja dibentangkan dalam seminar dua hari anjuran bersama kerajaan negeri dan PIMM yang disertai 200 peserta dari dalam dan luar negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN