GERAM, marah, sedih. Apa lagi perasaan yang mahu digambarkan terhadap berita menyayat hati kematian bayi, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal berusia 11 bulan akibat dirogol suami pengasuh. Tidak tercapai dek akal waras manusia betapa kejamnya perlakuan yang lebih buruk daripada binatang itu sehingga sanggup bertindak sedemikian. Seorang bayi yang sepatutnya dibelai dengan penuh kasih sayang oleh orang dewasa menjadi mangsa nafsu buas manusia bertopengkan syaitan. Di mana letaknya perikemanusiaan?
Ibu bapa mana yang tidak luluh hatinya apabila orang yang diamanahkan untuk menjaga anak dengan baik hanya disepak terajang sehingga mati. Bagaikan jantung terhenti, dunia seakan gelap gelita dan pastinya pelbagai persoalan berputar di kepala apalah dosa anak ini sehingga tergamak dipukul sehingga pecah tempurung kepala, dirogol sehingga terkoyak pada selaput dara dan dubur. Sakitnya itu sudah tentu tidak tertanggung oleh anak kecil ini.

Kes-kes penderaan bayi melibatkan pengasuh seperti tiada kesudahan. Kebelakangan ini hampir setiap bulan ia berlaku. Pada Julai lalu, negara digemparkan dengan penemuan mayat bayi lelaki berusia lima bulan yang disorokkan di ruangan sejuk beku peti ais di rumah seorang pengasuh wanita.
Sebulan selepas itu, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan patah tangan kanannya dipercayai didera oleh pengasuh wanita. Satu lagi kes yang tidak boleh diterima akal apabila seorang pengasuh tergamak memukul serta tidak memberi makan selama tiga minggu anak jagaannya yang berusia setahun dua bulan hanya kerana lambat menerima bayaran upah jagaan.
Sampai bila kita akan terus mendengar tragedi seumpama ini berlaku? Hasil siasatan terhadap kes-kes yang dilaporkan, kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak kepada pengasuh durjana itu hanya dikenali menerusi Facebook. Tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang pengasuh, keselamatan anak diperjudikan demi memenuhi tuntutan kerja.
Dalam hal ini, siapa perlu dipersalahkan? Persoalan ini perlu dibicarakan secara serius sebelum nasi menjadi bubur.
Mengambil contoh kes Nur Muazara Ulfa itu, siasatan awal mendapati suspek adalah positif syabu. Bagaikan terkunci mulut jika sesuatu kes yang berlaku melibatkan pengaruh dadah. Adakah kekejaman yang dilakukan seolah-olah dihalalkan kerana ‘najis’ itu hanya disebabkan mereka dianggap mempunyai masalah mental?
Menurut Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad, individu yang ‘lalok’ kerana dadah jenis Methamphetamin itu boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak sehingga mengganggu tahap mental seseorang sekali gus mengakibatkan kemurungan, kecelaruan tingkah laku dan hilang pertimbangan akal.
Mereka yang dipengaruhi syabu akan mengalami halusinasi, delusi, paranoid selain berkelakuan ganas sehingga bertindak di luar kawalan. Dan ada antara kesannya ialah peningkatan nafsu seks!
“Banyak kes pembunuhan adalah disebabkan pengambilan syabu itu dan mereka bertindak demikian kerana mengalami halusinasi apabila mendengar bisikan suara atau ternampak sesuatu yang sebenarnya tidak wujud di alam realiti sehingga sanggup mencederakan diri sendiri atau mereka yang rapat dengannya sekali pun mangsa itu hanya seorang bayi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengikut faktor-faktor di atas, Dr. Fauziah percaya kes melibatkan bayi dirogol itu adalah disebabkan pelakunya di bawah pengaruh syabu tanpa boleh dikaitkan dengan masalah pedofilia.
Dalam hal ini, Dr. Fauziah mendesak ibu bapa supaya membuat semakan terperinci terlebih dahulu siapa yang akan menjaga anak mereka itu. Buatlah checklist sebelum menyerahkan anak kepada pihak ketiga. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
• Buat sesi temu bual dengan pengasuh. Daripada sesi perbualan santai pun kita boleh ketahui sedikit sebanyak peribadi mereka termasuk tahap kesihatan mental.
• Kenali pengasuh melalui jiran-jiran. Rajinlah bertanya dengan orang sekeliling.
• Tengok keadaan rumah pengasuh. Adakah cukup bersih atau selamat untuk anak kita tinggal?
• Lihat juga keadaan pengasuh itu. Adakah fizikalnya bersih.
• Ketahui ahli keluarganya, berapa orang dan siapa yang tinggal bersama.
• Kena ambil peduli keadaan anak kita ketika bersama pengasuh. Selalu buat spot check melalui telefon atau pulang secara mengejut di luar waktu kebiasaan. Ketika itu kita boleh ketahui siapa yang tengah memegang anak kita, apakah yang sedang dilakukan dan siapakah yang memberi makan dan memandikannya?
Ibu bapa tidak boleh meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada pihak lain dalam hal penjagaan anak. Mereka mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Buatlah penilaian secara berhati-hati supaya tidak menyesal di kemudian hari. Alangkah malangnya jika anak itu meninggal dunia kerana kecuaian orang lain apatah lagi perbuatan itu dilakukan oleh seorang penagih dadah. Kekejaman tidak boleh dihalalkan hanya kerana dadah. Apa pun, kita semua mengharapkan hukuman paling berat dikenakan terhadap penjenayah seperti ini.
Buat anak syurga Nur Muazara Ulfa, damailah di sana. Al-fatihah.










