KUANTAN – Sebuah premis kedai buku, MBS Book Store di tingkat dua kompleks beli belah East Coast Mall di sini musnah dalam kejadian kebakaran pada pukul 12.50 tengah hari tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, tiada kecederaan atau kematian disebabkan kejadian itu.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.56 tengah hari sebelum tiba kira-kira lima minit kemudian.
“Ketika bomba tiba, didapati asap terlalu tebal serta memenuhi ruang kedai buku tersebut dan sistem percikan air kecemasan juga berfungsi dengan baik.
“Pasukan bomba kemudian menggunakan salur air yang terdapat di bangunan tersebut. Api berjaya dikawal pada pukul 1.21 petang,” kata beliau menerusi kenyataan kepada pemberita di sini. – K! ONLINE










