ALOR SETAR 8 Nov. – Kerajaan negeri tetap optimis akan ada maklum balas positif dari Kerajaan Persekutuan berhubung hasratnya untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) biarpun perkara itu tidak langsung disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, permohonan untuk membangunkan KXP telah pun diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Guan Eng sendiri dilihat amat peka akan hal tersebut.
“Kami faham kedudukan kewangan serta kekangan dihadapi kerajaan Persekutuan yang kini mewarisi keadaan merumitkan dan disebabkan itu, kerajaan negeri tidak meletakkan harapan begitu tinggi untuk mendapatkan peruntukan pembangunan KXP.
“Kami yakin Kerajaan Persekutuan tidak menghalang untuk kami terus mengusahakannya terutamanya menerusi pelaburan luar atau inisiatif pelaburan swasta dan mungkin satu keputusan memihak kepada Kedah akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2018 secara bersama dengan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad di Dataran Medan Bandar, dekat sini baru-baru ini.
Mengulas ketiadaan peruntukan untuk pesawah yang merupakan golongan majoriti di negeri ini, Mukhriz berkata, walaupun tiada peruntukan khusus namun nasib golongan itu tetap dibela secara menyeluruh.
“Antaranya menerusi peruntukan diberikan menerusi Kementerian Pertanian, Pembangunan Usahawan, Pendidikan dan Kesihatan. Saya yakin sebahagian daripada peruntukan kepada kementerian itu akan sampai ke Kedah.
“Insya-Allah selepas ini saya akan dapatkan butiran terperinci daripada setiap kementerian itu yang akan memanfaatkan Kedah. Saya fikir kerajaan cukup prihatin dengan kebajikan petani, nelayan dan pesawah kerana perkara mengenai golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) banyak kali disebut dalam pembentangan tersebut,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sudi berkongsi 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan dengan kerajaan negeri.
“Kami sangat berminat untuk membangunkan aktiviti pelancongan di negeri ini dan wang yang diterima Kerajaan Persekutuan itu boleh digunakan untuk mempromosi produk yang ada di Kedah,” katanya.











