Kedah bentang bajet defisit - Utusan Malaysia

Kedah bentang bajet defisit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kerajaan negeri hari ini membentangkan bajet defisit sebanyak 8.14 peratus pada Pembentangan Bajet Negeri Kedah 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jumlah pembelanjaan mengurus dan pembangunan negeri ini adalah sebanyak RM853.8 juta berbanding anggaran hasil sebanyak RM710 juta.

Menurutnya, kutipan hasil tersebut adalah meliputi hasil cukai sebanyak RM295 juta, hasil bukan cukai (RM215 juta) dan terimaan bukan hasil (RM200 juta).

Bagaimanapun katanya, jumlah defisit yang dicatatkan itu menunjukkan penurunan berbanding 10.19 peratus pada tahun 2018.

“Kerajaan negeri mencadangkan sejumlah RM768 juta untuk perbelanjaan mengurus dan daripada jumlah itu, sebanyak RM108 juta diperuntukan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Jumlah perbelanjaan pembangunan yang dicadangkan pula sebanyak RM86 juta,” katanya.

Bajet 2019 yang bertemakan Bajet Berhemah Demi Kemakmuran Rakyat didasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dengan memberi penekanan kepada agenda pembangunan dan ekonomi negeri bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Pembentangan bajet oleh Mukhriz itu adalah bajet sulung kerajaan Pakatan Harapan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada Mei lalu.

Mukhriz berkata, pecahan peruntukan mengurus yang disediakan itu melibatkan pembayaran emolumen sebanyak RM248 juta, pembayaran perkhidmatan dan bekalan (RM162 juta) dan pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM153 juta).

Katanya, peruntukan bagi pembelian aset pula sebanyak RM16 juta, lain-lain pembelanjaan (RM5.8) juta dan bayaran tertanggung kerajaan negeri (RM75 juta).

“Sebagai memenuhi perbelanjaan berhemah dan memastikan bajet realistik mampu dicapai berdasarkan kemampuan semasa, anggaran perbelanjaan mengurus untuk tahun 2019 menunjukkan pengurangan sebanyak 10.61 peratus berbanding tahun 2018,” katanya.

Menurut Mukhriz, peruntukan pembangunan yang berjumlah RM86 juta itu adalah melibatkan enam strategi iaitu mensejahterakan dan memakmurkan rakyat, meningkatkan pertumbuhan koridor ekomoni negeri dan pengupayaan modal insan.

Katanya, tiga lagi strategi itu adalah pembangunan kecemerlangan bakat, menerap maqasih syariah dan amalan terbaik global.

“Enam strategi Bajet Negeri Kedah 2019 itu bagi merealisasikan slogan ‘Harapan Bersama, Memakmurkan Kedah,” katanya.

Selain itu, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada 4,738 penjawat awam lantikan negeri bagi Gred 54 dan ke bawah dan pembayaran akan dibuat pada Disember ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN