SAUDARA PENGARANG,
Penganugerahan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada hanya 285 penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah baru-baru ini menarik untuk diperkatakan.
Ini kerana sejak baginda menaiki takhta jumlah penganugerahan semakin berkurangan. Pada 2015, jumlah penerima adalah seramai 573 dan susut kepada 335 dan 334 pada tahun 2016 dan 2017.
Jumlah penerima bergelar juga semakin berkurangan dianugerahkan pada 2018 iaitu hanya 18 orang berbanding 29-33 penerima pada 2015-2017.
Penganugerahan Darjah Seri Paduka Mahkota Petak (S.P.M.P) kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu yang baharu memegang jawatan pada Mei 2018 bukanlah satu luar biasa kerana pada 2008, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin baharu sahaja satu bulan memegang jawatan Menteri Besar.
Walaupun ada suara-suara mempertikaikan penganugerahan ini kerana pada bulan lepas, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menolak tawaran darjah bergelar tetapi penganugerahan kepada orang nombor satu negeri perlu dilihat sebagai satu pengiktirafan untuk menaikkan taraf protokol jawatan Menteri Besar dan bukan dilihat dari aspek tempoh memegang jawatan.
Ketika isu penganugerahan darjah bergelar kepada pemimpin yang baharu memegang jawatan masih lagi hangat diperkatakan, kita perlu melihat kepentingan penganugerahan dari sudut protokol untuk satu-satu jawatan.
Kaedah menaik taraf protokol Menteri Besar pernah berlaku di Selangor apabila penyandangnya belum menerima sebarang gelaran. Jawatan Menteri Besar di negeri itu kemudian dinaik taraf sebagai Datuk Menteri Besar.
Penganugerahan kepada mana-mana penerima juga perlu dilihat dari sudut kuasa sultan yang mempunyai pancuran kemuliaan (Fountain of Honours) budi bicara (prerogative) yang mutlak. Pemahaman umum perlu disebar luas kerana setiap penganugerahan adalah berdasarkan pertimbangan setiap jasa dan sumbangan individu yang menerimanya.
Penganugerahan darjah bergelar kepada 18 orang penerima pada hari Ahad lepas oleh Sultan Perak dan seramai 267 pada 10 November 2018 turut menyaksikan pengiktirafan kepada bekas atlet negara seperti Loo Kum Zee, atlet lompat tinggi dan atlet memanah, Mon Redee Sut Txi.
Penghargaan kepada bekas atlet memberi indikator bahawa mereka sentiasa dihargai atas sumbangan masing-masing. Mungkin pemain dan pengurusan bola sepak Perak yang berjaya menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini dan juga atlet anak Perak lain yang berjasa kepada negeri dan negara boleh dipertimbangkan menerima pengiktirafan pada masa depan.
Penganugerahan kali ini juga menarik kerana melibatkan pengiktirafan kepada warga Universiti seperti Pro Canselor Universiti Malaya, Toh Puan Dato’ Seri Aishah Ong dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Sebagaimana diketahui umum Sultan Perak merupakan Canselor Universiti Malaya dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim pula adalah Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengiktirafan seperti ini tentunya amat bermakna kepada kedua-dua institusi keilmuan tersebut.
Satu catatan bersejarah pada sambutan Hari Keputeraan kali ini apabila Sultan Perak yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sehingga 31 Disember 2018 kerana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad Ke-V sedang menjalani rawatan.
Sesungguhnya rakyat negeri Perak beruntung kerana mempunyai sultan yang berpendidikan tinggi dan sentiasa menjaga prestij pengurniaan pingat dan darjah kebesaran kepada rakyat jelata.
Dirghayu Tuanku!
AHMAD,
Hulu Bernam










