PIL minda dengan kuasa 67 jenis buah dan ekstrak makanan berkhasiat! Eh, aku kena beli ni untuk Amin. Baru-baru ini, keputusan peperiksaan Amin pun semakin teruk, biar dia makan ubat ni, dan jadi lagi pandai daripada anak jiran sebelah!,” kata Maria sambil membayangkan wajah comel anaknya yang baru menginjak ke tahun satu.
Ya, 67 jenis buah mungkin sahaja satu perumpamaan melampau. Tetapi itulah hakikat yang kita lalui dalam zaman serba moden ini. Walaupun bukan semua tetapi ada segelintir ibu bapa yang begitu ‘taksub’ dalam menjadikan anak mereka seorang bijak pandai. Sehinggakan ada yang mudah termakan ‘bisikan’ iklan pil cerdik, yang dipromosikan mampu membuatkan anak lebih bijak daripada biasa. Benar atau tidak?
“Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan dengan pil minda dan adakah benar dakwaan-dakwaan yang dibuat menyatakan kebolehan pil tersebut, menjadikan seseorang individu lebih pintar?
“Pil minda adalah produk suplemen yang berkaitan dengan minda kanak-kanak dan dipercayai dapat meningkatkan kecerdasan minda anak-anak dan seterusnya meningkatkan prestasi mereka dalam pembelajaran,” terang Siti Nur Hidayah Adznam, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jadi adakah benar dakwaan sesetengah pengasas produk, bahawa produk pil minda ini mampu membuatkan seseorang itu menjadi lebih pintar? Ini jawapan Hidayah.
“Banyak pengilang tempatan menghasilkan produk-produk seperti ini yang diformulasi daripada campuran ekstrak makanan berkhasiat seperti kismis, kurma, buah delima dan madu yang telah terbukti secara saintifik bahawa pengambilan makanan ini secara berasingan dapat memberikan kebaikan dan kesihatan kepada tubuh badan.
“Tetapi sejauh mana keberkesanan produk-produk begini masih diragui kerana maklum balas yang diterima hanyalah berdasarkan testimoni pengguna semata-mata. Masih tiada kajian saintifik yang menyokong gabungan makanan-makanan ini memberikan kesan yang sama seperti mana ia diambil secara berasingan.
“Begitu juga dengan kehadiran produk suplemen tambahan yang lain seperti minyak ikan. Minyak ikan kaya dengan kandungan asid lemak omega-3. Ramai penyelidik di seluruh dunia telah membuktikan asid lemak omega-3 ini mampu membantu dalam perkembangan otak kanak-kanak.
“Tetapi sekiranya ia diambil secara berlebihan dikhuatiri berlakunya pengambilan lemak yang berlebihan dalam badan dan seterusnya memberikan kesan buruk kepada kesihatan,” jelas Hidayah.
“Terdapat juga produk-produk seperti ini di luar negara yang juga dikenali sebagai ubat bijak (smart pill). Bahan-bahan yang terdapat dalam ubat ini seperti methylphenidate boleh meningkatkan tumpuan dan daya ingatan bagi mereka yang mengambilnya.
KESAN SAMPINGAN
“Sesetengah kajian menunjukkan bahawa produk yang meningkatkan kognitif ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang buruk kepada kesihatan seperti masalah jantung, sakit kepala, kesukaran bernafas dan insomnia,” tambah Hidayah lagi.
Bagi Hidayah, untuk melahirkan anak-anak yang bijak dan cergas, ibu bapa tidak perlu berbelanja lebih untuk membeli sebarang produk suplemen untuk mereka.
“Rangsang otak dan minda anak-anak secara semula jadi melalui pemakanan lebih selamat dengan menyediakan makanan seimbang dan berkhasiat untuk mereka setiap hari.
“Pengambilan makanan sihat adalah penting bagi memastikan tahap kesihatan anak-anak dan imuniti mereka sentiasa berada di tahap yang optimum kerana badan yang sihat menjamin minda dan otak yang cerdas.
“Namun, pengambilan sesetengah nutrien perlu diberi perhatian untuk membantu anak-anak mencapai potensi terbaik mereka. Antara nutrien yang penting termasuklah karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada otak.
“Vitamin B kompleks, zat besi, zink dan magnesium pula penting bagi membantu penyerapan glukosa ke dalam otak. Glukosa merupakan gula ringkas yang terhasil daripada penghadaman karbohidrat. Karbohidrat boleh diperoleh daripada nasi, mi dan roti.
Manakala sumber makanan laut pula seperti ikan dan kerang-kerangan, ayam, telur, kekacang dan susu merupakan sumber bagi vitamin B kompleks, zat besi, zink dan magnesium,” terang Hidayah.











