PADA April 2018, menurut Indeks Kebebasan Akhhar Dunia (World Press Freedom Index), Malaysia berada di kedudukan 145 daripada 180 negara – jelas sekali satu kedudukan yang tidak boleh kita banggakan. Pada 2017 pula, Malaysia berada di kedudukan 144. Indeks ini disediakan oleh Reporters Without Borders (RWB), satu badan bukan kerajaan yang menumpukan aktivitinya dalam bidang kebebasan media, beribu pejabat di Paris, Perancis.
Menurut portal www.worldofbuzz.com ada beberapa sebab kenapa Malaysia berada di kedudukan yang tidak begitu baik berbanding negara lain.
Sebab pertama adalah media di negara ini sering “diganggu” (harassed) oleh pihak berkuasa setiap kali ia mengeluarkan pendapat atau komen yang tidak disenangi pihak-pihak tertentu.
Misalnya, portal media Sarawak Report dan The Edge tidak boleh diakses oleh orang awam setelah portal tersebut menyiarkan ulasannya mengenai syarikat 1MDB.
Sebab kedua adalah kewujudan beberapa undang-undang di negara ini yang dilihat mengekang atau mengehadkan kebebasan media seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia dan beberapa akta lain.
Menurut RWB lagi, aktiviti pengamal media sosial seperti pemblog (bloggers) sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa dan dikenakan tindakan kerana menyiarkan “berita palsu”, satu istilah baharu bagi “kritikan terhadap kerajaan”.
Sebab ketiga adalah kewujudan cybertroopers di media sosial, satu fenomena yang telah lama disedari oleh netizen negara ini. Ada askar siber ini yang dilantik dan dibayar elaun khas oleh pihak-pihak tertentu dan ada juga yang bertindak secara sukarela.
Sebab keempat adalah Akta Hasutan, yang dilihat sebagai satu halangan terbesar kepada kebebasan media di negara ini. Walaupun pada awalnya ada tanda-tanda akta ini akan dimansuhkan, akhirnya ia dikekalkan berkuat kuasa sehingga hari ini.
Malaysia berada pada kedudukan paling terbaik pada 2006 (iaitu di kedudukan 92) tetapi selepas itu merosot sehingga 2010 (di kedudukan 141), kemudian bertambah baik sedikit pada 2012 (di kedudukan 122) dan selepas itu kembali merosot lagi hingga sekarang.
Pada 2014, kita berada di kedudukan 147 iaitu lebih teruk berbanding Thailand (di kedudukan 130) dan Indonesia (di kedudukan 132). Bagaimanapun, kedudukan kita lebih baik berbanding Filipina (di kedudukan 149) dan Singapura (di kedudukan 150).
Menurut wakil RWB di Paris, Christophe Deloire, kedudukan yang menjadi lebih teruk ini (bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia) berpunca daripada aktiviti kumpulan ekstremis seperti Islamic States (IS) dan Boko Haram.
Antara negara yang berada di kedudukan paling teruk dalam indeks kebebasan media ini adalah Iran, Cina, Syria dan Korea Utara. Negara-negara yang mempunyai kedudukan teratas dan paling baik pula adalah Finland, Norway, Denmark, Belanda dan Sweden.
Pada 2016 (apabila Malaysia ditempatkan di kedudukan 146 dari 180 negara oleh RWB), Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Apandi Ali telah mempersoalkan keputusan badan bukan kerajaan tersebut.
Menurut beliau, ketegasan kerajaan kita mencorakkan kebebasan media mengikut acuan sendiri gagal difahami oleh masyarakat antarabangsa.
Apandi berasa hairan bagaimana kedudukan Malaysia boleh lebih teruk daripada kedudukan Myanmar dalam indeks berkenaan.
Menurutnya, indeks itu tidak mengambil kira masyarakat majmuk yang ada dalam negara ini serta peruntukan Perlembagaan negara ini yang menyatakan bahawa kebebasan akhbar bukanlah sesuatu yang muktamad.
Beliau menambah – “No country is completely free. There is no such thing as complete freedom.” (Tidak ada negara yang bebas sepenuhnya. Tidak ada kebebasan yang mutlak).
Kita boleh menilai sendiri kedudukan kebebasan media di negara ini dengan melihat kembali rentetan beberapa peristiwa yang disebutkan ini.
Pada 31 Mac 2014, Menteri Dalam Negeri masa itu ditanya kenapa permohonan permit akhbar oleh FZ Daily, Malaysiakini dan Suara Keadilan ditolak. Menteri menjawab, negara ini sudah ada jumlah akhbar yang mencukupi. Lagi banyak akhbar nanti akan hanya mengelirukan pembaca.
Pada Julai 2015, portal Sarawak Report digantung (tidak boleh diakses). Beberapa portal lain mengalami nasib yang sama – iaitu Outsyed the Box, Tabunginsider, Jinggo Photopages, Din Turtle, Asia Sentinel dan Malaysia Chronicle.
Pada 25 Februari 2016, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengharamkan The Malaysian Insider, atas alasan portal berita itu menyiarkan bahan yang menyebabkan kekeliruan (caused confusion).
Pada 9 November pejabat Malaysiakini digeledah oleh pegawai dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Pada 21 Mac 2017, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang pengamal media memasuki lobi Parlimen, dengan itu menghalang mereka mendekati dan menemubual ahli Parlimen di bangunan tersebut.
Pada 2 April 2018 (menjelang PRU-14), Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Berita Tidak Benar (Anti-Fake News Bill). Bila ditanya kenapa terburu-buru meluluskan rang undang-undang baharu itu, seorang Timbalan Menteri menjawab “Kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita yang cuba menimbulkan kembali isu 1MDB. Kita percaya ada usaha beberapa pihak yang punyai agenda politik untuk mencemarkan nama baik Perdana Menteri.”
Akta ini yang mula berkuat kuasa pada 11 April 2018 telah dimansuhkan pada 17 Ogos lalu.
Untuk memahami lagi prinsip kebebasan media di negara ini, kita perlu renung semula apa yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Utusan Melayu (M) Berhad lawan Datuk Seri Adnan Yaakob (2016) 5 MLJ 56 (perenggan 19) – “…In the exercise of the right to such freedom within the ambit of the Federal Constitution and other relevant laws, the public should have the right to discuss their government and public officials conducting public affairs of the government without fear of being called to account in the court for their expressions of opinion”.
Kesimpulannya, rakyat ada hak membincangkan dan memperkatakan tentang tindak tanduk kerajaan dan pegawai kerajaan melaksanakan tugas awam mereka, tanpa takut atau khuatir akan diheret ke mahkamah disebabkan pernyataan pendapat mereka itu.
Istilah “rakyat” (the public) di sini pastinya meliputi pengamal media.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.










