Kebakaran Camp ragut 9 nyawa - Utusan Malaysia

Kebakaran Camp ragut 9 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARADISE, Amerika Syarikat (AS) – Sembilan orang diisytiharkan mati, manakala kira-kira 200,000 orang terpaksa dipindahkan selepas kebakaran hutan merebak dengan pantas di California, barat AS.

Kebakaran itu juga menyebabkan penduduk dan golongan selebriti yang mendiami kawasan mewah di tepi pantai Malibu terpaksa berpindah dengan segera.

Kesemua mangsa itu terbunuh apabila kenderaan yang mereka naiki terperangkap dan dijilat api ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran yang berlaku di Paradise, utara California.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan awal mendapati ke­semua mangsa berada di dalam kenderaan itu ketika kebakaran Camp merebak dengan pantas,” kata Jabatan Syerif Daerah Butte.

Sementara itu, berpuluh-puluh orang dilaporkan hilang menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada 50,000 orang di kaki bukit Sierra Nevada termasuk penduduk di Chico supaya berpindah.

“Saiz kemusnahan yang dilihat sememangnya sukar dipercayai dan amat menyedihkan bagi mereka yang terjejas teruk akibat kebakaran ini,” kata Pe­ngarah pejabat Gabenor Per­khidmatan Kecemasan California, Mark Ghilarducci.

Jurucakap Bomba berkata, kira-kira 2,000 bangunan dipercayai musnah di sini selain semua pesakit di Hospital Feather River telah dipindahkan dengan serta-merta.

Turut termasuk dalam kawasan kebakaran itu ialah lokasi kediaman yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan selebriti Hollywood seperti Leo­nardo DiCaprio, Jack Nicholson, Jennifer Aniston, Halle Berry, Charlize Theron dan Brad Pitt.

Malah, bintang realiti TV, Kim Kardashian West yang tinggal di utara pantai Malibu di Calabasas memberitahu melalui laman In­stagram bahawa dia diberi masa satu jam untuk keluar dari kediamannya.

Pada masa kini lebih 2,200 anggota bomba dikerahkan termasuk beberapa helikopter dan tangki air digunakan untuk memadamkan kebakaran liar itu.

Kebakaran Camp merebak akibat tiupan angin kuat sehingga menjejaskan kawasan seluas 8,093 hektar selain turut memusnahkan ratusan rumah, stesen minyak, hospital, restoran dan kenderaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN