KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pasaran saham tempatan dan kewangan menunjukkan momentum yang positif walaupun lemah di sebalik prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2018 yang perlahan.
Petang ini, indeks FBM KLCI kembali berada pada paras 1,700 mata apabila meningkat 12.17 mata kepada 1,706.38 mata berbanding semalam, 1,694.21 mata. Jumlah dagangan bagaimanapun merosot kepada 1.84 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 1.98 bilion unit bernilai RM1.88 bilion semalam.
Prestasi ringgit pula, petang ini ditutup pada RM4.1880 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada RM4.1890 pada Khamis.
Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, bukan Malaysia sahaja yang merekodkan KDNK di bawah jangkaan dan ia adalah satu trend yang dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.
Katanya, KDNK terkini menjelaskan kesinambungan momentum yang sama, dan pihaknya turut memerhati KDNK China, Jerman dan negara-negara lain dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Pertumbuhan global telah memuncak dan dijangka menyebabkan kemerosotan dalam pertumbuhan ekonomi pada 2019,” katanya mengulas prestasi ekonomi negara di sini hari ini.
Mengenai ketidaktentuan pasaran global susulan perjanjian Brexit telah dicapai pada peringkat teknikal, Jameel berkata, ia mewujudkan risiko berat ke atas permintaan bagi pasaran baharu muncul.
Katanya, pasaran baharu muncul di Asia mungkin tidak begitu terdedah kepada risiko berkaitan Brexit berbanding negara berdekatan seperti United Kingdom (UK) dan Eropah.
Meskipun begitu, jelas beliau, negara Asia kekal tidak lari daripada membuat pelabur kurang tertarik untuk melabur dalam aset yang agak berisiko dan dalam masa sama memberi kesan negatif.
“Prospek dolar AS yang lebih kukuh juga merupakan risiko paling tinggi kepada ringgit untuk jatuh ke paras RM4.20 berbanding dolar AS sebelum akhir tahun ini.
“Namun, ia boleh berlaku lebih awal daripada ini, tetapi kesemuanya bergantung kepada dolar AS buat masa sekarang di dalam pasaran dan tidak ada pemangkin domestik yang boleh mendorong kepada turun naik bagi mata wang tempatan ini,” katanya.
Sementara itu, menurut MIDF Research, pertumbuhan KDNK Malaysia sebanyak 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 sedikit tinggi daripada unjuran mereka pada 4.2 peratus dan di bawah jangkaan pasaran 4.6 peratus.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi KDNK menjadi sederhana pada suku ketiga susulan permintaan domestik yang kukuh dan penurunan sektor berasaskan komoditi seperti pertanian dan perlombongan serta kuari.
“Ia turut didorong perbelanjaan pengguna yang kukuh didorong tempoh tax holiday sementara penggunaan swasta meningkat sembilan peratus.
“Berdasarkan perkembangan semasa, kami menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.8 peratus pada tahun ini susulan sektor perdagangan dalam negeri dan luar yang menggalakkan,” katanya.










