KDNK 2018 di landasan tepat 4.8 peratus - Utusan Malaysia

KDNK 2018 di landasan tepat 4.8 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil dan diyakini dapat merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.8 peratus tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, aktiviti sektor swasta akan berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan di tengah-tengah penyusunan semula perbelanjaan sektor awam.

Katanya, bagi tempoh selanjutnya pada 2018 dan menjelang 2019, pemulihan pengeluaran komoditi secara beransur-ansur juga akan memberi sokongan kepada pertumbuhan.

Jelas beliau, Malaysia mencatat KDNK pada 4.4 peratus bagi suku ketiga tahun ini, le­bih rendah berban­ding 6.2 peratus bagi tempoh sama 2017.

“Jumlah hutang luar negeri menurun 66.2 peratus daripada KDNK pada suku ketiga 2018 berbanding paras tertinggi 74.3 peratus daripada KDNK pada akhir 2016.

“Aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan disebabkan oleh perkembangan penggunaan swasta yang kukuh berikutan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga 2018 di sini hari ini.

Pada suku pertama tahun ini, Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK pada 5.4 peratus diikuti 4.5 peratus pada suku kedua. Pertumbuhan separuh pertama tahun ini direkodkan 4.9 peratus.

Untuk suku ketiga 2018, dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkila­ngan menyokong pertumbuhan manakala sektor perlombongan terus menerima kesan daripada kejutan pengeluaran.

Sektor pertanian kekal le­mah disebabkan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran dalam suku sebelum ini.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat 1.6 peratus lebih pantas berban­ding dengan pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

Menurut Nor Shamsiah, inflasi keseluruhan menurun kepada 0.5 peratus pada suku ketiga 2018 terutama kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar.

Tambah beliau, pelaksanaan cukai jualan dan per­khidmatan (SST) bermula 1 September 2018 memberikan impak yang sedikit ke atas inflasi pada suku ketiga.

“Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan diunjur meningkat disebabkan oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri.

“Meskipun kesan dasar cukai penggunaan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun tersebut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN