RANTAU PANJANG 5 Nov. – Hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok mula ditenggelami air sedalam 0.5 meter.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kampung yang mula menerima limpahan air Sungai Golok ialah Lachang, Jejawi, Bongor dan beberapa lagi kawasan berhampiran sungai.
Namun sehingga kini tidak ada penduduk yang dipindahkan.
Setakat pukul 2.15 petang tadi, paras air Sungai Golok mula mencecah tujuh meter sekaligus meletakkan penduduk berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Seorang penduduk Kampung Lachang Wan Hanif Wan Adam, 38, berkata, air mula memasuki kawasan itu sejak pukul 4 pagi semalam selepas hujan lebat mulai turun di sekitar pekan ini.
Menurutnya, kebanyakan penduduk sudah membuat persiapan awal sebaik sahaja memasuki musim tengkujuh.
“Walaupun sudah biasa, namun penduduk tetap waspada dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk hadapi banjir.
“Saya harap banjir kali ini tidak teruk dan semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










