KOTA KINABALU – Kementerian Dalam Negeri mengarahkan supaya kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diperketatkan sebagai persiapan berdepan ancaman penculikan di perairan negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kementerian memandang serius terhadap sebarang maklumat berkaitan jenayah penculikan rentas sempadan terutamanya yang melibatkan pergerakan militan kumpulan Abu Sayyaf.
Menurut Mohd. Azis, pasukan keselamatan seperti polis dan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) komited memastikan perairan Esszone sepanjang 1,400 kilometer (km) berada dalam keadaan selamat.
“Pasukan keselamatan yang ditempatkan di lokasi berkaitan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita menganggap apa sahaja maklumat berkaitan cubaan melakukan penculikan dan serangan di perairan negara adalah serius.
“Kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan perairan setakat ini amat baik dan kita tidak akan membenarkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Program Ujian Kemahiran Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini hari ini.
Turut Hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.
Terdahulu, pada penghujung Oktober lalu, sebuah portal online, Marine Link mendedahkan 10 ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf merancang melakukan aktiviti penculikan di kawasan terpencil di Sabah.
Portal berkenaan melaporkan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat itu daripada pasukan keselamatan Filipina baru-baru ini.
Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali tidak menafikan laporan portal tersebut dan bertegas kawasan perairan negara dalam keadaan yang selamat. – K! ONLINE










