JAKARTA 1 Nov. – Kapten kapal AS Jaya 11 dikenali sebagai Rahmat mengaku melihat ekor pesawat Lion Air, JT610 tenggelam selepas terhempas di perairan Tanjung Karawang.
Dalam video yang dimuat naik oleh TvOneNews di YouTube hari ini, Rahmat ketika itu sedang dalam perjalanan dari Kalimantan Tengah ke Marunda, Cilincing, Jakarta Utara.
Katanya seperti dipetik oleh Tribunnews, dia pada mulanya melihat benda seperti ekor pesawat berwarna putih dan merah ‘terjunam’ ke dalam laut.
Namun, dia tidak melihat badan pesawat berkenaan.
“Saya tidak melihat langsung badan pesawat, yang saya lihat adalah ekor pesawat itu tenggelam ke dalam laut,” jelasnya.
Tambah Rahmat, selepas itu dia melihat air laut memercik ke atas disusuli dengan ombak besar dan letupan.
Katanya, dia tidak mendengar sebarang bunyi aneh yang dicetuskan oleh pesawat terbabit kerana enjin kapalnya turut mengeluarkan bunyi bising.
Dalam perkembangan berkaitan, jenazah salah seorang mangsa, Jannatun Cyntia Dewi dikebumikan di kampung halamannya di Sidiarjo, wilayah Jawa Timur pagi ini.
Menurut Pegawai Komunikasi Strategik Korporat Lion Air, Danang Mandala Prihantoro, jenazah Jannatun Cyntia diterbangkan ke Surabaya.
Beliau memberitahu, pegawai Lion Air menyerahkan sendiri jenazah tersebut kepada keluarganya.
“Lion Air turut memberikan pampasan kepada semua keluarga mangsa termasuk gratuiti berjumlah 25 juta rupiah (RM6,911) dan ganti rugi sebanyak 1.25 bilion rupiah (RM350,000) setiap penumpang,” katanya.
Sementara itu, seorang rakan kepada pramugari pelatih JT610 yang terkorban dalam nahas tersebut, Trianingsih Putri Van Ende mendedahkan wanita tersebut pernah meluahkan hasrat untuk berhenti bekerja selepas tidak dibayar gaji selama tujuh bulan.
Rakan kepada Trianingsih Putri iaitu Shely Che berkata, dia sempat bertemu dengan wanita berkenaan tiga hari sebelum kejadian tersebut.
“Dia baru pulang dari kerja pada pukul 8.30 malam tetapi dia tetap mahu berjumpa dengan saya,” kata Shely.
Pada pertemuan terakhir itu, Shely banyak mendengar cerita dan rungutan daripada Trianingsih Putri selama menjadi pramugari pelatih di Lion Air.
“Dia merungut beberapa perkara termasuk tidak dibayar gaji selama tujuh bulan, mungkin kerana dia masih dalam latihan. Tetapi makanan dan pengangkutan pun tidak ditanggung. Trianingsih Putri juga sempat berkata, dia sudah tidak larat bekerja di situ dan mahu berhenti,” katanya.











